Diperingkat akar umbi parti, ahli Umno meragui motif sebenar Najib mahupun Zahid Hamidi menyokong presiden PKR sebagai PM.
Meskipun Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah memberi peringatan agar ahli-ahli politik menghentikan politiking dan sebaliknya menumpukan usaha memerangi Covid-19, namun nampaknya kemelut politik negara terus berlarutan.
Sehari selepas titah itu dikeluarkan Istana, bekas presiden Umno Najib Razak mengakui ada mengemukakan cadangan agar Umno mempertimbangkan kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baru.
Najib mengatakan cadangan yang dikemukakan dalam pertemuan dengan anggota parlimen BN itu adalah dengan syarat kerjasama itu tidak melibatkan DAP.
Akibat bantahan anggota parlimen BN, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akhirnya memutuskan bahawa parti itu kekal menyokong kerajaan PN.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada sebelah malam 26 Oktober lalu.
Najib keesokannya mengatakan cadangan agar Umno menyokong Anwar cuma salah satu daripada tiga pilihan yang diberikan kepada Umno.
Kata Najib dia juga mencadangkan kepada Umno agar terus menyokong PN.
Penjelasan Najib itu bagaimanapun tidak dapat melenyapkan spekulasi di peringkat akar umbi bahawa berlaku rundingan dan tawar menawar di belakang tabir antaranya dan Anwar.
Sebelum itu, sebuah portal melaporkan bahawa Najib dan Zahid menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menunjukkan sokongan Umno kepada Anwar.
Meskipun dinafikan jurucakap presiden Umno, setakat ini Zahid sendiri tidak menafikan surat yang mengaitkan namanya.
Di peringkat akar umbi parti, ramai ahli Umno kini mula meragui motif sebenar Najib mahupun Zahid menyokong Anwar sebagai PM.
Antaranya Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz yang mempersoalkan tindakan Najib mencadangkan sokongan kepada Anwar.
Dalam satu kenyataan, Tun Faisal mendakwa hanya individu yang "dijanjikan sesuatu" daripada Anwar akan mengambil tindakan menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu.
Sama ada disengajakan atau tidak, kenyataan daripada Tun Faisal yang juga setiausaha politik kepada Annuar Musa itu secara tidak langsung mengheret sama Zahid, selaku presiden Umno.
Sehingga kini tidak hanya di kalangan ahli Umno, malah rakyat secara umum tertanya-tanya apakah agenda di sebalik cadangan agar Umno menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
Terdahulu pada Sept lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata dia percaya jika Anwar berjaya membentuk kerajaan baru, presiden PKR itu akan berada di bawah telunjuk Najib dan Zahid.
“Sudah pasti yang memberi sokongan kepada Anwar mempunyai kesetiaan yang lebih kepada Najib dan Ahmad Zahid.
“Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada Muhyiddin (Yassin) dan menarik balik sokongan dan jatuhkan kerajaan,” kata Mahathir.
Kenyataan Mahathir itu dibuat selepas Anwar mendakwa memiliki majoriti yang cukup daripada anggota parlimen untuk menubuhkan kerajaan.
Bagaimanapun, Anwar seperti dijangka menafikan sebarang perjanjian bagi "membebaskan" individu tertentu yang mempunyai kes di mahkamah apabila kerajaan baru pimpinannya dibentuk.
Siapa DAP maksudkan orang 'kemaruk kuasa'
Cadangan Najib agar Umno menyokong Anwar sebagai perdana menteri juga mendapat reaksi negatif dan keras daripada DAP.
Setiausaha Publisti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, ada sesetengah orang yang tidak berprinsip mungkin 'kemaruk kuasa' sehingga sanggup mendapatkan sokongan Najib bagi membentuk kerajaan baru.
“Ini benar-benar gila. Nampaknya ada juga segelintir yang tidak bermaruah serta begitu kemaruk kuasa sehingga sanggup bersama Najib untuk tubuhkan kerajaan baharu.
“Saya tidak akan sesekali sokong kerajaan sedemikian," kata Pua.
Selain menguatkan lagi persepsi 'ada udang di sebalik mi', kenyataan Pua itu menimbulkan pertanyaan siapakah orang 'kemaruk kuasa' dimaksudkannya.
Sekiranya Pua tidak merujuk kepada Anwar Ibrahim, kepada siapakah ia ditujukan? Dan persoalan yang lain apakah akan ada implikasi terhadap hubungan DAP dan PKR selepas kenyataan pedas tersebut dikeluarkan?
Ramai ahli PKR sendiri keliru mengapa Anwar dikatakan bersedia menerima sokongan Najib yang pernah suatu ketika mereka gelarkan sebagai juara 'kleptokrasi'.
"Saya lihat belum apa-apa Najib sudah letak syarat dia tidak mahu kerjasama dengan DAP jika sokong Anwar. Siapa Najib untuk tentukan syarat itu," soal Anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
Selain Hassan, tidak ada kedengaran sebarang bantahan daripada pemimpin PKR untuk menolak cadangan kerjasama dengan pakatan Najib-Zahid di dalam Umno. Maka kenyataan Hassan itu boleh diibaratkan sebagai suara terpencil dalam PKR.
Bagaimanapun apa yang pasti, Umno sudah membuat keputusan muktamad untuk menolak cadangan Najib dan Zahid, sebelum lamaran dibuat parti itu terhadap Anwar.
Ibarat cinta tak kesampaian akibat dihalang pihak ketiga, Najib, Zahid dan Anwar kini perlu mencari formula baru bagi mencapai matlamat politik mereka.
Asalkan bukan Zahid
Di tengah-tengah perkembangan politik ini, perdana menteri yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilapor bersedia melantik seorang wakil Umno ke jawatan timbalan perdana menteri.
Dipetik Sin Chew Daily, sumber mengatakan bahawa Muhyiddin menyerahkan kepada Umno untuk mengemukakan calon TPM asalkan calon itu bukan Zahid yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.
Tiga nama disebut iaitu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan (gambar, bawah); Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein yang kini tiada sebarang jawatan dalam parti.
Sekiranya perkara ini benar, ia menguatkan lagi tanggapan bahawa usul yang dibuat Najib dan Zahid untuk menyokong Anwar disebabkan keengganan perdana menteri menyelamatkan kes mereka di mahkamah.
Oleh kerana itu, Najib dan Zahid beralih sokongan kepada Anwar, yang kemudian cadangan itu ditolak oleh sebahagian besar anggota parlimen Umno.
Setidak-tidaknya inilah persepsi yang berlegar di peringkat ahli bawahan.
Pilihan Mahathir
Langkah Muhyiddin yang dikatakan enggan melantik Zahid sebagai TPM juga seperti cuba menyanggah pendapat Mahathir pada Jun lalu yang mengatakan dia (Muhyiddin) akan memastikan enam ahli parlimen Umno yang sedang berdepan kes rasuah tidak disabitkan bersalah di mahkamah.
Mahathir sebelum ini berulangkali menegaskan bahawa dia boleh bekerjasama dengan Umno secara en bloc, asalkan bukan dengan pimpinannya yang menghadapi tuduhan rasuah.
Sekiranya Muhyiddin menunjukkan ketegasan terhadap pemimpin Umno yang sedang menghadapi kes di mahkamah ketika ini, maka apakah Mahathir mungkin akan berubah fikiran?
Setakat ini, belum ada penganalisis politik yakin bahawa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan Mahathir mampu memenangi pilihan raya dengan bergerak sendirian.
Mahathir tidak mempunyai pilihan lain melainkan partinya perlu menyertai mana-mana gabungan parti politik sedia ada sekiranya mahu berada dalam kerajaan selepas PRU akan datang.
Dan sekiranya dia memilih untuk bergabung dengan parti politik lain, pilihan itu hanya ada dua - sama ada kembali menyokong Pakatan Harapan yang ada Anwar di dalamnya atau menyokong PN yang ada bersamanya Muhyiddin.
Selain itu, Mahathir boleh memilih untuk kekal dengan status quo dan menunggu keajaiban untuk memenangi PRU akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan