"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjawab hujah Rais Yatim: PM gagal menasihati hingga Agong puas hati

HANIPA MAIDIN

Untuk berlaku adil, bagi saya, Tan Sri Rais Yatim telah bangkitkan “some valid points” dalam Twitter beliau.

Ya, umumnya, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan (PP) boleh dihujahkan hendaklah dibaca bersekali dengan Perkara 40 PP.

Apa dia Perkara 40 PP? Secara intipatinya, Perkara 40 PP berkenaan isu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) harus bertindak atas nasihat ( to act on advice) .

Hanya dalam keadaan tertentu, YDPA boleh bertindak ikut budi bicara (tanpa perlu bertindak atas nasihat) sendiri seperti yang dinyatakan dalam Perkara 40 ( 2 ) PP, misalnya dalam perkara pelantikan Perdana Menteri (PM) dan dalam isu pembubaran Parlimen. Itu sekadar contoh.

Justeru, adakah dalam isu perisytiharan darurat, ia termasuk dalan kuasa budi bicara YDPA? Atau “he has to act based on advice?”

Jika Tan Sri Rais kata “he has to act on advice by the PM”, dengan hormat, saya berkata, hujah beliau tersebut bermerit kerana kuasa untuk isytihar darurat tidak secara spesifik dinyatakan dalam Perkara 40( 2 ) – “a sole discretion of YDPA”.

Dengan kata lain, bagi Tan Sri Rais nampaknya bagi kuasa isytihar atau tidak isytihar darurat itu, YDPA perlu dengar nasihat PM. Titik.

Tan Sri Rais berhujah Perkara 40 PP adalah mandatori, maka secara tersirat, YDPA telah terkhilaf kerana gagal menuruti nasihat PM untuk isytihar darurat.

Seperti saya kata, hujah beliau ada merit kerana selama ini , itulah yang selalunya berlaku – YDPA kena dengar dan ikut nasihat PM.

Seolah-olah YDPA, bagi Tan Sri Rais tidak ada sebarang ruang untuk tidak boleh untuk tidak bersetuju dengan nasihat PM. Bagi beliau, itulah roh raja berperlembagaan.

Saya amat hormati hujah tersebut. Bagaimanapun, hujah balas saya adalah soalan ini: “Bagaimana jika nasihat PM misalnya ada kecacatan?” Misalnya, alasan yang diberikan oleh PM dalam memberi nasihat itu diragui kesahihannya?

Adakah YDPA kena juga ikut nasihat sebegitu?

Saya berpendapat, dengan hormat, dalam keadaan tertentu YDPA boleh untuk tidak terikat untuk ikut atau menuruti nasihat PM.

Dalam konteks perisytiharan darurat misalnya, dalam keadaan tertentu, YDPA, pada hemat saya, boleh tidak terikat dengan nasihat PM.

Jika tidak, frasa “jika YDPA berpuas hati” pada Perkara 150 PP menjadi tidak berguna atau peguam selalu sebut “otiose”.

Pada hemat saya, bagi membolehkan YDPA bersetuju untuk terima nasihat PM untuk isytihar darurat, YDPA kena berpuas hati terlebih dahulu dan bukan YAB PM yang kena puas hati.

Puas hati apa? Puas hati satu darurat besar ( grave emergency) berlaku. Itulah kehendak Perkara 150 PP. Untuk puas hati umumnya seseorang kena periksa atau berbincang lebih lanjut.

Justeru itu, bagi saya, YDPA bertindak betul apabila Baginda mengambil masa dan berbincang lanjut dengan Majlis Raja-Raja bagi memuaskan hati Baginda bahawa ada darurat besar di bawah Perkara 150 PP untuk membolehkan Baginda mengisytiharkan darurat.

Apabila Baginda enggan isytihar darurat, logiknya PM gagal menasihati sehingga Baginda boleh berpuas hati.

So, the case is closed. NFA.

Tiada ulasan: