MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN
Ada satu cerita hikayat yang menarik tentang pengkhianatan dan bagaimana sikap keji ini memakan diri. Tetapi disebabkan kekangan waktu, cerita ini hanyalah sebuah cerita tanpa sebarang rujukan dan maklumat yang tepat.
Kisahnya begini. Pada zaman dahulu, berlaku satu peperangan antara dua kerajaan. Peperangan itu memakan korban yang besar, banyak kemusnahan harta benda berlaku dan berlangsung dalam tempoh yang agak lama.
Masing-masing pihak menunjukkan kehandalan berperang dan kehebatan peralatan perang. Sukarnya menamatkan peperangan ini kerana barisan tertinggi tentera yang cukup berpengalaman dan handal memasang strategi.
Tetapi masa berlalu dan sumber makanan dan bekalan kelengkapan berperang semakin menyusut. Akhirnya salah sebuah kerajaan tewas. Daripada barisan tertinggi tentera, tinggallah dua orang tentera penting. Mereka berdua ditangkap dan dibawa menghadap raja yang menang.
Sebenarnya raja yang menang itu agak ralat jika terpaksa membunuh dua tentera musuh. Walaupun musuh tetapi kepakaran dalam peperangan yang dimiliki amat berharga. Terlalu bodoh jika dibazirkan begitu sahaja.
Maka raja itu pun memanggil penasihatnya untuk meminta pandangan apa keputusan dan tindakan terbaik yang boleh diambil bagi menyelesaikan kekusutannya.
Untuk menyelesaikan masalah, penasihat itu membisikkan sesuatu dan raja pun bersetuju. Selesai berbincang, raja pun mengarahkan agar dua tentera musuh itu dibawa datang semula menghadapnya.
Selepas dibawa menghadap, baginda bertitah bahawa hanya salah seorang sahaja tentera musuh itu yang akan dipilih untuk menyertai kerajaannya sekaligus diberikan jawatan penting dalam pasukan tentera.
Sejurus bertitah, maka dicampakkan dua bilah pedang ke tanah sebagai senjata untuk dua tentera tersebut bertarung dan membunuh lawan demi mendapatkan tempat yang dijanjikan.
Ketika itu, dua tentera tersebut langsung tidak memikirkan siapa lawannya. Tidak penting lagi hubungan persahabatan yang dibina selama ini. Tiada lagi erti pengorbanan dan kesetiaan. Apa yang penting adalah nyawa, pangkat dan harta kekayaan yang dijanjikan oleh raja.
Bertarunglah mereka sehingga salah seorangnya tumpas di tangan sahabatnya sendiri. Gembiralah yang menang kerana membayangkan ganjaran lumayan yang akan diterima. Difikirkan segalanya sudah tamat dan ganjaran duniawi sedang menanti.
Malang seribu kali malang. Ketika asyik meraikan kejayaan membunuh rakannya sendiri, datang pula penasihat raja itu lalu membisikkan sesuatu kepada raja.
Tanpa banyak soal, raja pula mengarahkan algojo memenggal kepala tentera musuh yang menang. Maka terputuslah antara kepala dan badan dan melepaslah segala ganjaran yang dijanjikan.
Sebenarnya, apa yang dibisikkan oleh penasihat itu kepada raja sehingga raja bersetuju dengan cadangannya? Ada dua perkara yang ditekankan oleh penasihat itu iaitu kesetiaan dan pengkhianatan.
Penasihat berkata, jika mereka bersetia, mereka sanggup sama-sama dibunuh daripada mencabut nyawa sahabat dengan tangan sendiri. Kemudian, jika kesetiaan itu sudah tiada, maka yang tinggal hanyalah pengkhianatan.
Bayangkan, jika kepada sahabat sendiri yang sudah dikenali bertahun-tahun lamanya sanggup dikhianati, maka apakah alasan untuk dia tidak mengkhianati untuk kali kedua kepada raja yang memberikan kedudukan istimewa dalam kerajaan yang baharu?
Pengkhianatan memang akan berlaku pada sepanjang masa. Jika dahulu kita menikmati kisah si Kitol dan Raja Mandeliar seperti dikarang dalam Sulalatus Salatin, hari ini kita melihat dengan mata kepala sendiri pengkhianatan melalui Langkah Sheraton.
Anwar Ibrahim sudah merasai pahitnya pengkhianatan. Sekarang Muhyiddin Yassin harus berjaga-jaga. Dalam senyap-senyap, si Kitol pengkhianat menunggu waktu terbaik untuk mengulangi semula episod pengkhianatannya.
Demi mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin mungkin agak mudah untuk menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno yang semakin hari semakin kuat menggugat kerajaan rapuh itu, tetapi ada si Kitol tidak akan berdiam diri melihat kedudukan nombor dua itu dikuasai oleh pihak lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan