"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak mungkin Ahli Parlimen akan lompat ke pihak yang gagal

Robin Augustin

PETALING JAYA: Seorang ahli sains politik tidak melihat peluang kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) meningkatkan angka sokongannya menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada September.

“Tiada keuntungan peribadi, apatah lagi kepentingan umum, bagi mana-mana Ahli Parlimen untuk menyertai ‘kerajaan gagal’,” kata Wong Chin Huat.

“Kini Muhyiddin tinggal sokongan hanya 100 Ahli Parlimen, melompat hanya akan mengakibatkan seorang Ahli Parlimen menjadi sebahagian daripada pihak pembangkang baharu.

“Kenapa mana-mana Ahli Parlimen hendak korban masa depan politiknya untuk keuntungan jangka pendek?”

Kata Wong, mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang menyertai kerajaan sekarang mungkin akan ditolak pengundi pada pilihan raya akan datang (PRU15) dan disisihkan oleh kerajaan baharu.

Beliau mengulas penafian Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah bahawa beliau akan meninggalkan PKR untuk menyertai gabungan pemerintah PN.

Wong memberitahu FMT, beliau yakin dengan integriti politik Maria dan menyifatkan khabar angin mengenai hal itu sebagai tipu helah jahat untuk mencemarkan reputasi Maria dan menimbulkan ketidakpercayaan.

Sejak seminggu lalu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendakwa mereka ditawarkan melompat pihak.

Ini berlaku di tengah-tengah keraguan terhadap majoriti Muhyiddin di Parlimen setelah sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen Umno mengumumkan mereka menarik sokongan kepadanya.

Mengenai sama ada kerajaan sekarang dapat diselamatkan jika Muhyiddin digantikan sebagai Perdana Menteri oleh pemimpin Umno, Wong berkata, ia tidak semudah itu.

“Jika Muhyiddin mengundurkan diri, mungkin beliau tidak lagi dapat memilih penggantinya, sebagaimana beliau dapat berbuat demikian tiga minggu lalu,” katanya.

“Perpecahan dalam Umno begitu mendalam sehingga tidak mungkin presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, akan membenarkan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atau Menteri Kanan Hishammuddin Hussein mengambil jawatan tertinggi itu.”

Katanya, ini bermaksud Umno mungkin mahu pemimpin yang bukan mesra Bersatu menjadi Perdana Menteri, sambil menambah, ini menimbulkan ancaman buat sekutu Muhyiddin.

Wong berkata, Muhyiddin mungkin memutuskan untuk terus bertahan, berdepan undi percaya dan mengundurkan diri jika kalah.

“Namun jika blok Muhyiddin kekal terbesar setelah kalah undi percaya sementara Pakatan Harapan dan Umno tidak dapat bersetuju untuk berkongsi kuasa, maka tidak mustahil Muhyiddin dilantik semula menjadi PM untuk memimpin kerajaan minoriti.

“Perlu ditegaskan bahawa Muhyiddin tidak boleh berharap menjadi PM minoriti tanpa terlebih dahulu kalah undi percaya,” katanya.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, sukar dibayangkan ada Ahli Parlimen yang akan melompat ketika ini.

“Imej kerajaan di mata rakyat tidak baik ketika ini disebabkan caranya mengendalikan wabak.

“Situasi semakin memburuk, begitu juga ekonomi,” katanya.

“Jadi sukar bagi mana-mana Ahli Parlimen mencari alasan untuk melompat. Jika mereka mahu melakukannya, mereka tahu mereka akan dihukum pada PRU akan datang.”

Tiada ulasan: