"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Taubatlah sekarang, pesan Najib pada MP Umno ingkar arahan parti

Malaysiakini 

Ketika politik masih diselubungi ketidaktentuan dan banyak khabar angin bertiup, bekas presiden Umno Najib Razak memberikan nasihat kepada sesetengah ahli parlimen parti itu.

Jelas menyasarkan komennya kepada ahli parlimen yang kekal memberi dukungan kepada Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN), Najib berkata, sentimen rakyat ketika ini memang tidak memihak kepada mereka.

Ahli akar umbi juga, katanya menunjukkan kemarahan terhadap ahli parlimen terbabit kerana enggan mengikut arahan pemimpin tertinggi parti.

"Masa bertaubat adalah sekarang," katanya sambil melampirkan hantaran itu dengan tangkap layar laporan The Malaysian Insight.

Dalam laporannya portal berita itu menyebut ahli parlimen Umno yang ingkar kepada arahan parti berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Umno pada 7 Julai lalu memutuskan untuk menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin dan PN atas beberapa alasan termasuk kegagalan menangani wabak Covid-19 serta gagal mempertahankan demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun ekoran pendirian itu muncul 'pemberontakan' dalam kalangan sesetengah ahli parlimen, khususnya yang mempunyai jawatan dalam kabinet serta timbalan menteri.

Setakat ini hanya dua ahli parlimen Umno berjawatan menteri meletak jawatan iaitu Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah dan Noraini Ahmad (Parit Sulong).

Kumpulan yang enggan melepaskan jawatan pula diketuai Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Perkembangan semasa pula menunjukkan kedudukan PN dan Muhyiddin kini goyah selepas presiden Bersatu itu didakwa kehilangan sokongan majoriti di parlimen.

Tiada ulasan: