"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM pagi di Johor, petang jumpa Hadi ketika Covid-19 lepasi 21,000 kes

FAZLI RADZI

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin hari ini bergerak dari Johor hingga ke Terengganu ketika kes harian Covid-19 melepasi 21,000 iaitu paras tertinggi, 21,668 kes.

Kira-kira jam 5 petang tadi, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengunjungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Kampung Rusila, di Marang.

Ketibaan Mahiaddin disambut anak Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil.

Pertemuan Mahiaddin dengan pemimpin sekutu kerajaan PN itu berlangsung kira-kira sejam.

Turut mengiringi Mahiaddin, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Senator Datuk Razali Idris.

Media melaporkan hanya Mahiaddin, Hamzah dan Ahmad Samsuri memasuki kediaman Abd Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu.

Sejurus keluar dari rumah tersebut, Abdul Hadi dan Muhyiddin hanya sempat melambaikan tangan ke arah media sebelum menaiki kenderaan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira jam 6.10 petang.

Pertemuan Mahiaddin dan Hadi itu susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri pada 3 Ogos lalu.

Terdahulu pagi tadi, Mahiaddin hadir ke persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri.

Mahiaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir tiba di Bangunan Sultan Ismail kira-kira jam 9.30 pagi.

Presiden Bersatu itu duduk di barisan sama dengan dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Osman Sapian (Bersatu-Kempas) dan Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bersatu-Bukit Kepong).

Tiada ulasan: