"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mampukah vaksinasi selamatkan Malaysia?

FAIZ FADZIL

Kes jangkitan harian Covid-19 dilihat masih tiga angka di negeri yang tinggi kadar vaksinasi.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat banyak bergantung kepada vaksinasi dalam menyelesaikan wabak Covid-19 di Malaysia.

Kononnya, mahu mengikut model Wilayah Persekutuan Labuan, di mana kes harian turun daripada tiga kepada satu digit dalam tempoh kurang daripada dua bulan. Ini selepas kadar vaksinasi di wilayah itu telah mencapai tahap imuniti kelompok.

Namun, kejayaan ini nampaknya tidak dapat dicapai di beberapa tempat lain. Lihat sahaja di Kuala Lumpur.

Pada 8 Ogos, kes harian di Kuala Lumpur dicatatkan pada 1,883, walaupun lebih 90 peratus golongan dewasa di wilayah itu telah menerima dua suntikan vaksin.

Di Putrajaya pula, kes masih berlegar tinggi sekitar dua digit dan pada 6 Ogos lalu, kes harian Covid-19 melonjak ke 122. Padahal, 100 peratus golongan dewasa di wilayah itu telah menerima dua suntikan vaksin.

Hanya 37.5 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima vaksin setakat semalam.

Situasi di Sarawak turut teruk, meskipun kadar vaksinasi dua dos melebihi 72 peratus, jangkitan harian pada 8 Ogos lalu adalah 581 kes.

Bukan itu sahaja, kadar jangkitan atau R-naught di ketiga-tiga kawasan terbabit masih tinggi. Sarawak (1.11), KL (1.05) dan Putrajaya (1.06) pada 7 Ogos. Selain itu, wujud kes di mana rakyat dijangkiti Covid-19 walaupun telah divaksin.

Hakikatnya, krisis Covid-19 di Malaysia tidak boleh diselesaikan hanya dengan vaksinasi semata-mata. Benar, vaksinasi adalah senjata terbesar kita, namun mampukah vaksinasi menyelamatkan Malaysia?

Selagi mana sumber-sumber terbesar yang membolehkan virus ini merebak tidak ditutup, selagi itu kes harian Covid-19 akan terus melambung. Sektor perkilangan, khususnya, harus diberikan tumpuan khusus.

Kalau banyak premis peniaga kecil boleh dipaksa tutup untuk berminggu-minggu lamanya, kenapa tidak kilang-kilang?

Ini menjadi lebih teruk apabila semalam, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin telah mengumumkan bahawa pengembara lengkap vaksin yang tiba dari luar negara dan mempunyai kediaman di Malaysia dibenarkan kuarantin di rumah.

Aktiviti makan di restoran atau dine-in turut dibenarkan walaupun kawasan itu masih berada dalam Fasa 2.

Kedua-dua perkara ini dikhuatiri akan menyebabkan kes meningkat kerana terlalu berisiko. Tidak masuk akal, misalnya, Sabah yang mencatatkan 1,379 kes pada 8 Ogos dan kadar lengkap vaksin hanya 16.7%, dibenarkan dine-in hanya kerana negeri itu berada dalam Fasa 2.

Bukan itu sahaja, dengan membenarkan pengembara dari luar negara kuarantin di rumah, kerajaan PN membenarkan varian Covid-19 yang berbahaya merebak lebih teruk.

Kita sudah melihat pelbagai insiden sebelum ini di mana golongan yang kuarantin wajib di rumah masih keluar dari rumah mereka. Bolehkah kerajaan PN memberi jaminan insiden seperti itu tidak akan berulang?

Justeru, kerajaan digesa menubuhkan “field quarantine centres” untuk membolehkan lebih ramai individu positif Covid-19 menjalani perintah kuarantin di pusat-pusat sedemikian, dengan pengawasan kesihatan yang secukupnya.

Semakin hari, semakin banyak kes kematian di luar hospital atau “brought-in-dead” (BID) yang kita dengar. Pada 8 Ogos sahaja, 85 kes dikategorikan sebagai BID. Difahamkan ramai di antara kes-kes seperti ini adalah individu yang kuarantin di rumah kerana kerajaan tidak menyediakan ruang secukupnya.

Mungkin mereka hanya mempunyai gejala yang kecil, namun ini boleh menjadi serius sekiranya tidak dipantau.

Disamping itu, kerajaan perlu menggalakkan setiap isirumah untuk memiliki kit ujian kendiri Covid-19. Ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia peka mengenai status Covid-19 mereka, dan boleh mendapatkan bantuan kesihatan secepat mungkin.

Bagi keluarga berpendapatan bawah RM5,000, kit berkenaan perlulah diberikan secara percuma oleh kerajaan. Kerajaan juga perlu mensubsidi kos ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk Covid-19.

Pada ketika ini, harga siling PCR adalah RM150, namun ini tidak termasuk kos lain berkaitan ujian berkenaan. Dengan subsidi ini, kita bukan sahaja mengurangkan beban rakyat Malaysia, tetapi dapat menggalakkan mereka yang bergejala, walaupun sedikit, ianya mampu mendapatkan ujian dan bantuan kesihatan.

Sekali lagi, saya menggesa kerajaan PN menambah baik strategi menangani Covid-19, dan bukannya bergantung kepada vaksinasi semata-mata.

Kadar kematian telah melebihi 10,000 setakat ini, dan selagi mana kerajaan PN tidak memperbaiki strategi Covid-19 mereka, angka 10,000 ini menunjukkan bilangan rakyat Malaysia yang mati akibat kegagalan Mahiddin Md Yasin dan Kabinetnya.

*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Kes harian Covid-19 dibimbangi akan terus melambung jika sektor perkilangan gagal diberi perhatian khusus.

Tiada ulasan: