"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa jadi pemangsa, bomoh cedera dibelasah kini berdepan tuduhan cabul

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pengamal perubatan tradisional yang menjadi mangsa pukul sekumpulan lelaki baru-baru ini kini berdepan dakwaan mencabul seorang gadis.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat, berkata kes itu disiasat susulan laporan terhadap lelaki terbabit.

Menurutnya, seorang gadis berusia 15 tahun mendapatkan rawatan tradisional di rumahnya di Pasir Tumboh, Kota Bharu pada pagi 2 Ogos lalu.

“Rawatan dijalankan seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan ustaz.

“Semasa rawatan dijalankan, suspek dikatakan bertindak memegang dan meraba seluruh badan mangsa.

“Mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya yang kemudian telah membawa remaja terbabit membuat laporan polis,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Kubang Kerian, semalam.

Menurut laporan sebelum ini, lelaki terbabit cedera dipukul sekumpulan lelaki selepas dikatakan menjalankan rawatan yang salah.

Lelaki terbabit dikatakan dibelasah termasuk dengan menggunakan penyangkut baju.

Sementara itu, Shafien berkata, suspek dalam kes berkenaan adalah individu yang dilaporkan menjadi mangsa dalam kes pukul tersebut.

“Dalam kes pertama (pukul) dia sebagai mangsa, tapi kes kedua ini dia sebagai suspek.

“Mangsa dikatakan selalu mengalami masalah histeria dan dipercayai disebabkan gangguan makhluk halus.

“Keluarga mangsa menghubungi suspek yang berusia 39 tahun dari Perlis itu untuk menjalankan rawatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 14(1) (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Difahamkan, pengamal perubatan berusia 39 tahun itu masih ditahan di hospital atas masalah kesihatan dan akan dipanggil untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan: