"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri Umno ‘terkejut, kecewa’ dengan tawaran Muhyiddin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Umno difahamkan “tidak gembira” susulan cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melaksanakan pembaharuan pentadbiran inklusif, sebagai tukaran kepada sokongan pembangkang, menjelang undi percaya pada September ini, kata sumber terdekat.

“Seorang menteri terkejut. Saya fikir kebanyakan mereka tidak mengetahui sebelum ini cadangan dikemukakan lingkaran dalam kepada PM (perdana menteri).

“Ini boleh menjadi pencetus menteri Umno menarik sokongan. Saya juga mendengar cakap-cakap mereka mahu menekan beliau untuk letak jawatan dan memberi laluan kepada orang lain dalam perikatan mengambil alih,” katanya.

Sumber berkenaan, berkata calon perdana menteri terbabit berkemungkinan mampu mengekalkan Umno kekal berada dalam kerajaan.

Semalam, dalam siaran langsung disiarkan televisyen, Muhyiddin mengumumkan penawaran untuk mengekalkan pentadbirannya, susulan kesangsian membabitkan sokongan majoriti terhadap presiden Bersatu itu di Dewan Rakyat.

Ia termasuk, kerangka kerjasama politik bipartisan, termasuk peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira hubungkait politik.

Muhyiddin turut mencadangkan ketua pembangkang diberi status sebagai menteri kanan, sebagai mengiktiraf peranan dimainkan pembangkang.

Parti pembangkang dan Umno bagaimanapun menolak mentah-mentah tawaran berkenaan, sementara PAS pula membantah untuk bekerjasama dengan DAP.

Menurut laporan, seramai 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan pentadbirannya, sama ada menerusi kenyataan awam atau akuan berkanun, sekali gus meninggalkan sokongan kerajaan menurun kepada 100 Ahli Parlimen sahaja daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: