"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin jumpa pemimpin PN hari ini ‘atur langkah seterusnya’

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijangka bertemu dengan semua pemimpin daripada partinya hari ini.

Sumber dalaman parti berkata tempat pertemuan belum diputuskan tetapi ia mungkin diadakan di Pejabat Perdana Menteri.

“Pertemuan itu dijangka diadakan selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya kepada FMT.

Katanya, mereka akan membincangkan mengenai sokongan majoriti Muhyiddin dan “mengatur langkah seterusnya”.

Salah satu agenda dalam mesyuarat itu dikatakan untuk mempercepatkan sidang Parlimen minggu depan dan membubarkan Parlimen.

“Nampaknya ada tekanan kepada Perdana Menteri supaya membuat usul undi percaya lebih awal dan tidak menunggu hingga persidangan Dewan Rakyat September ini,” katanya sambil menambah bahawa keputusan mengenai perkara itu dijangka dibuat hari ini.

Ketika ditanya mengenai spekulasi bahawa Muhyiddin mungkin akan meletakkan jawatan, katanya: “Kalau beliau nak letak jawatan, beliau sudah lama buat tetapi sekarang ini semua kena ikut undang-undang.”

Tambah sumber itu, Ahli Parlimen yang berpihak kepada Muhyiddin masih menyokongnya.

Menurut laporan, 15 Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan kepada Muhyiddin dan pentadbirannya melalui pengumuman awam atau akuan bersumpah (SD).

Blok pembangkang mempunyai 105 Ahli Parlimen daripada Pejuang, DAP, PKR, Warisan, Parti Sarawak Bersatu, MUDA dan Amanah. Ini termasuk bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, yang merupakan ahli Bebas. Dengan 15 Ahli Parlimen dari Umno, jumlah mereka yang tidak menyokong Muhyiddin adalah 120 daripada 220 Ahli Parlimen, meninggalkan Perdana Menteri itu dengan hanya 100 Ahli Parlimen.

Seorang lagi pemimpin parti berkata, mereka akan membincangkan kemungkinan membubarkan Parlimen tetapi ia “masih belum konkrit”.

“Kita akan bincang perkara ini dalam pertemuan hari ini,” katanya kepada FMT.

Katanya, sekiranya Parlimen dibubarkan, ia sama ada akan mencetuskan pilihan raya umum (PRU) atau kerajaan ‘caretaker’.

“Tetapi ini bukan masa yang tepat untuk PRU. Kita akan tunggu untuk tengok apa yang semua (pemimpin parti) katakan hari ini,” tambahnya.

Tiada ulasan: