"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Negeri pertama adakan sidang DUN esok, Johor jadi tumpuan susulan kemelut politik Umno, PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan membuka tirainya esok dan menjadi tumpuan apabila menjadi negeri pertama mengadakan persidangan selepas Parlimen mula bersidang akhir bulan lalu.

Tumpuan itu susulan kemelut politik antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin dan Umno di peringkat pusat yang dijangka memberi kesan pada sidang DUN yang selama ini berlangsung tenang.

Memetik laporan Berita Harian, tindakan kerajaan Johor diterajui Umno yang terus mengambil sikap berdiam diri walaupun Bersatu Johor mendesak supaya pendirian jelas diumumkan, sama ada terus menyokong PN atau pun mengikut ketetapan Umno pusat, dilihat mampu memberi kesan kepada persidangan yang berlangsung.

Minggu lalu, Menteri Besar Hasni Mohammad yang juga Ketua Umno Johor mencuri tumpuan apabila dilaporkan meminta keabsahannya sebagai Menteri Besar supaya dibangkitkan dan dibincangkan ketika persidangan berlangsung.

Mengulas mengenai sama ada berlaku kejutan ketika Sidang DUN Johor yang bermula esok, ahli jawatankuasa Bersatu Johor, Osman Sapian mengambil pendirian untuk tidak mendahului parti.

Beliau yang juga bekas menteri besar berkata, Bersatu Johor mempunyai strategi tertentu namun ia tidak boleh diumumkan secara terbuka.

“Itu (strategi Bersatu) kita tak boleh bincangkan secara terbuka. Kita ada strategi tersendiri.

“Pastinya strategi ini memberi bayangan terhadap apa yang berlaku di peringkat Pusat.

“Apa pun keputusan Bersatu Johor perlu mendapat restu dan kelulusan kepemimpinan tertinggi parti iaitu Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.

“Selagi tiada restu dan kelulusan presiden, selagi itu tiada kenyataan mengenainya akan dibuat,” katanya ketika dihubungi.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini sehingga 22 Ogos nanti.

Sultan Ibrahim dalam hantaran di akaun Facebook rasmi baginda, dilaporkan bertitah berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor di Kota Iskandar pada tarikh berkenaan.

Pada 3 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dilaporkan sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Keputusan berkenaan dijangka menjejaskan empat negeri diterajui PN membabitkan Johor, Melaka, Kedah dan Perak.

Terdapat 56 kerusi DUN Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu) sementara Amanah (sembilan) dan PKR (empat).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia selepas Bersatu memberikan sokongan kepada Umno untuk menerajui kerajaan Johor berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh pada Februari tahun lalu.

Tiada ulasan: