"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semua MP perlu bekerjasama pastikan Mahiaddin letak jawatan

ARIF ATAN

Sudah terang lagi bersuluh. Tan Sri Mahiaddin Md Yasin tidak lagi mempunyai keabsahan sebagai Perdana Menteri.

Perikatan Nasional (PN) pimpinannya juga sepatutnya sudah tumbang kerana tidak mempunyai sekurang-kurangnya sokongan 111 daripada 220 Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Mengulas ‘kebuntuan’ politik pada masa ini, Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berpendapat kesemua Ahli Parlimen yang menolak Mahiaddin perlu segera sepakat.

“Apa yang perlu diberikan keutamaan sekarang adalah semua parti politik dan Ahli Parlimen yang menolak Mahiaddin dan kerajaan PN perlu bekerjasama memastikan Mahiaddin meletakkan jawatan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Faiz mengingatkan proses pelantikan dan peletakan jawatan seseorang Perdana Menteri perlu mengikut lunas undang-undang.

“Keluhuran Perlembagaan perlu dijunjung bagi menjamin kestabilan politik dan tadbir urus yang teratur.

“Justeru, menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, seseorang Perdana Menteri perlu meletak jawatan jika hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat,” tegasnya.

Krisis Perlembagaan

Peguam berkenaan berkata, kehilangan majoriti boleh ditentukan di Parlimen melalui usul undi tidak percaya atau undi percaya terhadap Perdana Menteri menurut precedent kes Stephen Kalong Ningkan atau di luar Parlimen berdasarkan precedent kes Nizar Jamaluddin.

“Setelah Presiden Umno pada 3 Ogos lalu mengumumkan lebih lapan Ahli Parlimen menarik sokongan terhadap Mahiaddin yang disokong dengan surat akuan, maka jumlah keseluruhan ahli Dewan Rakyat yang menolaknya sebagai PM berjumlah 113 mengambil kira pendirian 105 Ahli Parlimen pembangkang.

“Oleh itu, Mahiaddin sekarang tidak lagi layak menjadi PM dan seluruh Kabinet terbubar dan jatuhlah kerajaan PN,” tegasnya.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, Mahiaddin wajib segera meletak jawatan bagi mengelak berlakunya implikasi undang-undang dan krisis Perlembagaan.

“Mahiaddin tidak boleh mengambil sikap melengahkan isu ini kerana keabsahan dan legitimasi beliau sebagai PM penting untuk diputuskan sekarang dan bukannya sebulan lagi,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat sidang Parlimen perlu dipanggil secepat mungkin dan semua pihak harus menumpukan hal berkaitan keabsahan Perdana Menteri dan kerajaan terlebih dahulu.

Mahiaddin tidak lagi layak menjadi PM dan seluruh Kabinet terbubar dan jatuhlah kerajaan PN.

Tiada ulasan: