"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanat Rusila bagi selamatkan Mahiaddin dan PN

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

1. Tidak sampai 24 jam selepas lawatan Perdana Menteri ke Rusila di Marang berjumpa Presiden PAS, kerajaan Perikatan Nasional telah membuat tawaran terbuka mengemparkan untuk bekerjasama kepada Pembangkang yang dianggotai DAP dan AMANAH yang dimusuhi Pas sebagai “haram” dahulu.

2. Adakah satu amanat atau dalil ajaib baru telah dikeluarkan pada petang Khamis tersebut?

3. Tidak mungkin tawaran sedemikian rupa boleh dibuat oleh Mahiaddin kepada AMANAH dan DAP tanpa restu atau izin Pas!

4. Apa telah berlaku dalam perjumpaan Mahiaddin dan Haji Hadi?

5. Soalan kita kepada Jakim dan Menteri Agama kenapa amanat kafir mengkafir Haji Hadi melalui Amanat Banggol Peradong terhadap Umno dipadam begitu sahaja dari portal Jakim tanpa izin Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja Raja Melayu masih belum lagi terjawab.

6. Adakah ada amanat baru disebut “Amanat Rusila” pula dikeluarkan pada lawatan Mahiaddin berjumpa Abdul Hadi di Rusila Khamis baru baru ini untuk membolehkan AMANAH dan DAP menyokong kerajaan pula?

7. Kenyataan Menteri Besar, Samsuri Mokhtar dan Harakahdaily melaporkan kunjungan Mahiaddin adalah untuk bincang pelaburan di Timur Tengah ada yang melucukan kepada banyak pihak dan ada juga menghinakan kerana menganggap rakyat bodoh.

8. Tidak masuk akal isu pelaburan Asia Tengah hendak dibincang dengan Duta Khas Timur Tengah selepas Haji Hadi tidak sihat begitu lama kebelakangan ini dan situasi ekonomi Malaysia yang amat teruk hari ini serta tiada kestabilan politik.

9. Menteri Besar Terengganu dan Pas jangan menghina dan menganggap rakyat begitu bodoh.

10. Kalau benar Mahiaddin telah dapat perkenan restu Haji Hadi untuk PN berdamping dengan DAP dan AMANAH demi survival politik Pas dan PN, apa terjadi pada “pengharaman” Pas terhadap DAP dan AMANAH sebelum ini ?

11. Satu dalil yang jelas mesti di bentang bagi kefahaman ramai.

12. Kalau Amanat Haji Hadi di Banggol Peradong yang kafir mengkafirkan ahli Umno yang dianggap ajaran sesat secara rasmi oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan boleh dipadamkan dengan senyap senyap, amat perlu Pas memberi penjelasan berkenaan pendirian tentang pelawaan kerjasama baru ini kepada DAP khususnya supaya rakyat tak keliru.

13. Kalau kerajaan MELAYU ISLAM – Perikatan Nasional dan Pas tidak memberi penjelasan segera, ini menunjukkan mereka semata mata mempermainkan isu halal dan haram dari aspek Islam sebagai alat politik kerajaan Melayu Islam semata mata.

14. Apa yang dahulunya haram boleh dihalalkan begitu sahaja demi survival politik apabila mereka di tahap nazak.

15. Sebenarnya isu halal haram kerjasama Pas dengan Umno dan DAP telah dipermainkan berpuluh tahun lamanya oleh Pas untuk keuntungan politiknya.

16. Ironi besar hari ini, Mahiaddin yang pernah memanggil Pas -Parti Ajaran Sesat, dan juga Pas yang pernah kafir mengkafirkan parti asal Mahiaddin – Umno, bersama sama memperalatkan Agama dan bangsa hanya untuk survival politik mereka. Mereka bersama sama menjadi penungang agama.

17. Kerana itu kerajaan melantik Datuk Zulkifli , sahabat Haji Hadi yang berasal dari Terengganu juga, sebagai Menteri agama dan YB Marzuk dari Pas sebagai Timbalan Menteri agama supaya isu agama boleh dibentuk mengikut selera mereka.

18. Betullah dakwaan asal Pas Islam terancam. Islam terancam kerana hukum halal haram dan dalil Islam mengikut selera politik mereka. Bukan mereka mengikut Islam.

#KerajaanGagal

—————

Penulis adalah Ahli Dewan Negara dan juga Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu.

Tiada ulasan: