"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengurus Bank: RM2.08 bilion masuk ke akaun peribadi Najib pada awal 2013

Malaysiakini

KES 1MDB | Seorang pengurus cawangan bank memberi keterangan bahawa Najib Razak menerima lebih RM2.08 bilion masuk ke dalam akaun banknya pada awal 2013.

R Uma Devi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini bahawa bekas perdana menteri itu menerima RM2,081,476,926.00 dalam akaunnya berakhir dengan nombir 694 di AmIslamic Bank, melalui sembilan peringkat pindahan, antara Mac dan April tahun itu.

Saksi pendakwaan ke-37 itu memberi keterangan bahawa RM2,034,350,000 kemudian dipindahkan daripada akaun bekas menteri kewangan itu melalui lima transaksi antara 2 dan 23 Ogos 2013.

Semasa membacakan keterangan saksi bertulisnya, Uma Devi (gambar, bawah) berkata wang RM2.08 bilion itu dimasukkan ke dalam akaun tertuduh antara 22 Mac dan 10 April 2013.

Dia memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap Najib yang berada di kandang tertuduh mahkamah.

Najib sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada syarikat pelaburan negara.

Dalam kenyataan pembukaan pendakwaan pada permulaan perbicaraan pada 28 Ogos 2019, timbalan ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram (gambar, bawah) berhujah bahawa jenayah itu didakwa dilakukan melalui empat fasa antara 2011 hingga 2014.

Pendakwa berhujah bahawa sembilan pertuduhan pengubahan wang haram yang pertama berkaitan dengan dakwaan menerima RM2,081,476,926 yang menjadi perkara pertuduhan ketiga dan wang itu dikatakan masuk ke dalam akaun tertuduh yang berakhir dengan nombor 694 di AmIslamic Bank.

Pihak pendakwaan mendakwa antara 2 Ogos 2013 dan 23 Ogos 2013, tertuduh memindahkan sejumlah RM2,034,350,000 kepada Tanore Singapura.

Pendakwa raya juga mendakwa bahawa pada masa yang sama, tertuduh telah menggunakan baki RM22,649,000 untuk membayar empat entiti dan seorang individu, kerana kes pendakwaan mengatakan semua bayaran ini memberi manfaat kepada tertuduh.

Prosiding perbicaraan 1MDB di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah ditetapkan bersambung esok hingga Khamis minggu ini.

Berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa, ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa salah laku di 1MDB dilakukan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan beberapa yang lain, dengan restu Najib.

Pasukan pembelaan tertuduh bagaimanapun mendakwa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui jenayah yang dilakukan di 1MDB dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan syarikat yang lain.

Uma juga sebelum ini memberi keterangan bagi pihak pendakwaan dalam perbicaraan jenayah berasingan terhadap Najib membabitkan dana RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Kedua-dua 1MDB dan SRC International dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB dan berkhidmat sebagai penasihat emeritus kepada SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan SRC International atas tujuh pertuduhan jenayah, serta hukuman penjara dan denda RM210 juta sebagai ganti tambahan penjara lima tahun tambahan.

Tiada ulasan: