"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menghormati PAS dulu, dan masa kini

Juwaini Abdul Rahman

ULASAN | Beberapa hari sebelum PRU ke-14 lalu berlangsung, saya ke Bangi untuk menghadiri satu program latihan berkaitan keselamatan maklumat. Ia bukanlah program politik.

Saya menaiki MRT dari stesen Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur dan turun di stesen Kajang. Dari situ saya menaiki teksi untuk ke tempat latihan.

Pemandu teksi tersebut ialah seorang lelaki berbangsa India. Peramah orangnya. Biasanya saya jarang berbual politik dengan orang yang saya tidak kenal. Tapi uncle tersebut tanpa segan silu menyatakan sokongan beliau kepada Pakatan Harapan (PH).

Mujur juga uncle itu penyokong PH. Kalau dia penyokong kuat BN, barangkali perjalanan menaiki teksi itu akan menjadi sangat panjang dan serba kekok.

Antara ayat pemandu teksi itu yang saya masih ingat sehingga kini ialah betapa dia memuji calon PAS di kawasan tersebut, Mohd Shafie Ngah.

Menurut uncle berkenaan, Mohd Shafie merupakan calon yang betul tetapi malangnya mewakili parti yang 'salah'.

Tambah dia lagi, kalau Mohd Shafie bertanding sebagai wakil PH, dia akan memberikan undinya kepada Mohd Shafie tanpa ragu-ragu sama sekali.

Masihkah ada persepsi baik

Sokongan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam terhadap calon 'pekat' PAS bukan perkara yang baru khususnya selepas 1998.

Pada PRU ke-12 (2008), seorang kakitangan pejabat saya tanpa teragak-agak mengaku dia mengundi Dr Mariah Mahmud (ketika itu menjadi calon PAS) di Kota Raja. Pengakuan tersebut terasa aneh pada waktu berkenaan.

Pertama, kerana majikan kami adalah sebuah agensi kerajaan yang boleh dikira 'totok BN'. Gambaran ketotokan itu ialah apabila ketua pegawai eksekutif agensi tempat kami bekerja menghadiri Perhimpunan Agung Umno.

Kedua, kerana ketika itu - barangkali - tiada siapa menjangka yang seorang calon parti Islam mampu mengalahkan calok BN yang begitu kuat pada waktu tersebut.

Baru-baru ini saya terbaca sebuah tulisan mengenai bagaimana Mohd Shafie menggelar bakal calon PH bagi kawasan parlimen Bangi, Syahredzan Johan, sebagai "tali barut Kit Siang."

Bagi sesetengah orang, label itu adalah satu penghinaan yang keras. Ia mungkin setaraf dengan 'macai' atau 'barua'.

Saya jadi terfikir: Masihkan uncle pemandu teksi dulu masih melihat Mohd Shafie seorang calon yang baik?

Selepas Hannah Yeoh diumumkan memenangi kerusi parlimen Segambut pada 2018, dia menciap rasa terima kasihnya kepada PAS.

Di sebalik perseteruan dalam politik Yeoh menghargai calon PAS, Mohd Solleh Ab Razak, yang berkempen tanpa memainkan sentimen agama dan bangsa.

Harus diingat, pada PRU ke-14, PAS dan PH tidak memasuki pilihan raya sebagai musuh yang ketara kerana serangan politik banyak difokuskan terhadap BN.

Samakan dengan haiwan

Hubungan PAS - PH ketika itu boleh dianggap sebagai bukan kawan tetapi tidak sampai ke tahap bermusuhan.

Sekarang, ketika kedatangan PRU ke-15 semakin hampir, adakah Yeoh akan merasai perkara yang sama nanti?

Secara peribadi, saya bukanlah asing dengan PAS. Saya dibesarkan dalam keluarga penyokong PAS walaupun tidak menjadi ahli parti tersebut. Apabila PAS mengambil tindakan untuk bermufaraqah dari Pakatan Rakyat, saya sedih.

Saya melihat PAS dan ahlinya sebagai orang baik. Umumnya dalam komuniti Melayu, orang PAS yang selalu mengimarahkan masjid dan surau. Saya mempunyai persepsi bahawa pemimpin PAS adalah Muslim yang baik.

Mereka - pada saya - ahli PAS ialah orang yang mampu berwacana dengan kata-kata baik, berhujah dengan bernas dan bertutur dengan beradab. Cuma pandangan tersebut mungkin betul ketika Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup. Kini, saya tidak pasti.

Tanpa susuk bernama Nik Abdul Aziz, presiden PAS tanpa teragak-agak menggelar musuh politiknya sebagai iblis.

Secara bandingan, memang tiada keraguan bahawa label "iblis" itu jauh lebih keras berbanding "tali barut". Ia berlaku ketika lidah Abdul Hadi Awang begitu fasih menyamakan lawan politiknya dengan haiwan.

Dia pernah menggelar lawannya seumpama itik, lembu, kuda, dan sebagainya.

Pimpinan dan ahli PAS membawa tanggungjawab sosial sebagai 'duta' Islam kerana parti mereka membawa nama Islam. Justeru biar ada beza di antara tutur kata seorang pemimpin dengan laskar siber.

Andai laskar siber yang diupah menggunakan kata maki hamun, ia tidaklah mengejutkan kerana memang ada golongan taasub sebegitu dalam mana-mana parti.

Tapi tentulah amat menjengkelkan jika pimpinan atasan gagal mengawal lidah masing-masing. Kecuali pemimpin terbabit memang mahu menyamakan diri mereka dengan laskar siber itu.


JUWAINI ABDUL RAHMAN ialah pembaca Malaysiakini yang mengundi PAS pada PRU ke-12 dan ke-13.

Tiada ulasan: