"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua TPM dianggap tambah kos kerajaan, tapi kenapa Pas boleh terima saiz Kabinet terbesar kerajaan Mahiaddin?

SITI NUR ZAWANI MISCON 

AMANAH Sabah membidas dakwaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan cadangan mewujudkan dua Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘menambah kos bagi kerajaan’.

Pengerusinya, Lahirul Latigul berkata, tuduhan itu sama sekali tidak tepat kerana Pakatan Harapan memberi jaminan saiz anggota Kabinet akan dikurangkan.

Jelasnya, jawatan TPM ini sebenarnya bersekali dengan pengurangan bilangan menteri, dan TPM akan memegang salah satu portfolio yang ada di dalam Kabinet.

Malah, beliau turut mengingatkan Tuan Ibrahim agar sedar bahawa tawaran TPM itu pernah disokong pimpinan Pas ketika bersama Pakatan Rakyat.

“Sekiranya pimpinan Pas menentang pembaziran, mengapa mereka bersetuju dengan saiz kabinet Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang dianggap paling besar dalam sejarah pada 2020?

“Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kerajaan juga menggunakan saiz Kabinet yang sama,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Lahirul berkata, Pemimpin Pas seharusnya antara yang kedepan menentang pelantikan Kabinet sehingga 70 orang sekiranya ia membazir serta bertentangan dengan tadbir urus yang baik.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, AMANAH Sabah menyambut baik pengumuman Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik dua Timbalan Perdana Menteri masing-masing Semenanjung dan dari Sabah, Sarawak.

Lahirul berkata, keputusan tersebut memberi harapan kepada penduduk di Borneo bahawa Sabah dan Sarawak bakal mendapat perhatian besar dari Kerajaan Persekutuan selepas Pakatan Harapan menakluk Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 ini.

“Dengan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri itu, kami yakin beliau bakal mempunyai kuasa yang lebih besar berbanding hanya Menteri Kanan sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional dan dicadangkan oleh Barisan Nasional,” katanya.

Tiada ulasan: