"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa laungan perang Umno PRU15?

Mohsin Abdullah

Setelah beberapa penafian, nama anak Najib Razak timbul lagi sebagai calon BN kerusi Parlimen Pekan pada PRU15 ini.

Menurut laporan, Nizar Najib “hampir pasti” dipilih calon menggantikan ayahnya yang menyandang kerusi Pekan sejak 1976. Najib tidak boleh bertanding kali ini atas sebab kita semua sudah tahu.

Sama ada Nizar atau adik tiri, Nooryana Najwa, bertanding di Pekan peluang menang amat cerah. Sebelum ini ada ura-ura Nooryana akan dicalonkan Umno-BN untuk bertanding di Pekan. Beliau anak Najib bersama Rosmah Mansor, manakala Nizar ialah anak sulung Najib hasil perkahwinan dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, isteri pertama beliau.

Ramai yakin anak Najib akan menang di Pekan. Keyakinan itu kerana keluarga Najib mempunyai talian rapat dengan Pekan sejak berzaman.

Razak Hussein, ayah Najib, perdana menteri ke-2 negara dan wakil rakyat Pekan. Apabila kerusi Pekan kosong dengan kematian Razak pada 14 Januari 1976, Najib dipujuk Umno untuk menceburi arena politik menggantikan ayahnya. Najib yang ketika itu berusia 23 tahun menang tanpa bertanding. Kasih sayang orang Pekan khususnya Umno kepada Razak dialih kepada Najib. Bagi mereka apabila mereka melihat Najib mereka melihat Razak.

Kini saya percaya begitu jugalah keadaannya. Apabila mereka melihat anak Najib, akan terlihat Najib. Berbanding Nooryana, Nizar dikatakan lebih dekat dengan Pekan. Beliau sudah “agak lama” aktif di kawasan berkenaan dan merupakan Ketua Pemuda Umno Pekan – jawatan yang beliau menang tanpa bertanding. Oleh itu ramai percaya Nizar calon BN di Pekan kali ini.

Di samping faktor mesra Pekan, Umno akan pasti juga menjaja ‘kisah sedih’ Najib untuk mendapat simpati rakyat khususnya orang Melayu. Dalam erti kata lain, ‘Keadilan untuk Najib’ dijadikan laungan perang Umno.

(Dakwaan tidak dapat keadilan sememangnya naratif Najib terutama pada detik-detik akhir proses rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung kes SRC International Ogos lalu. Mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara dan denda ke atas beliau).

Di Pekan, taktik itu akan membawa hasil yang diidamkan. Bagaimana pula di kawasan lain? Pada peringkat negeri mahupun nasional adakah laungan ‘keadilan untuk Najib’ boleh mendapat sokongan yang diharapkan?

Tentu Umno tahu atau dapat rasakan rakyat umumnya percaya dan yakin Najib sudah diberi setiap peluang dan ruang ketika membela diri di mahkamah. Daripada Mahkamah Tinggi kepada Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan – mahkamah tertinggi di negara ini. Bagi rakyat biasa, kes SRC International dilihat sama dengan skandal 1MDB. Najib seperti kita tahu sedang berdepan dengan banyak lagi pertuduhan membabitkan 1MDB. Ada lagi empat kes membabitkan beliau di mahkamah.

Teringat pada malam 9 Mei 2018 waktu terbit tanda-tanda jelas bahawa Umno-BN akan tewas PRU14, kalangan Umno secara senyap mengakui 1MDB kesan besar yang mengakibatkan mereka tewas pilihan raya umum itu. 1MDB terus menghantui Umno. Malah perdana menteri yang juga naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, beberapa bulan lalu menyuarakan kebimbangkan isu kapal tempur pesisir atau LCS yang hangat diperkatakan ketika itu akan dipergunakan seperti skandal 1MDB.

Suka atau tidak, adil atau sebaliknya, sebut skandal 1MDB wajah Najib akan terbayang. Walaupun ada yang mengatakan 1MDB isu basi ia tidak atau belum dilupakan sebahagian besar rakyat. Oleh itu adakah Umno akan memaparkan wajah Najib dan menggunakan taktik ‘Keadilan untuk Najib’ semasa berkempen? Walaupun sedar itu boleh mengingatkan kembali rakyat akan skandal 1MDB? Apa pula pandangan rakan Umno dalam BN?

Ismail beberapa kali sebelum ini mengakui soal ekonomi boleh menyulitkan kerajaan Umno-BN apabila menghadapi PRU15. Oleh kerana rakyat sedang dihimpit kesusahan akibat kadar inflasi melambung, harga barangan mahal, dan kos sara hidup menggunung, Ismail pasti mahu kempen Umno-BN berpaksikan pembelaan rakyat.

Apatah lagi masalah ekonomi masih belum menunjukkan tanda akan pulih dalam masa terdekat. Bekalan barangan keperluan ada yang masih terjejas.

Sehingga kini slogan PRU15 Umno belum jelas, selain menyerang parti musuh. Bermacam aspek cuba diketengahkan seolah-oleh strategi tidak tersusun. Mungkin keadaan akan jernih apabila manifesto BN dikeluarkan kelak.

Umum maklum isu hangat pilihan raya umum ini ialah rasuah dan ekonomi. Isu periuk nasi. Rasanya itu semua pihak dalam Umno tahu. Pun begitu ada pihak dalam Umno yang merasakan faktor Najib diperlukan untuk menang. Pada masa yang sama mereka tahu ada juga kesan negatif jika terus-menerus menggunakan unsur Najib untuk meraih undi. Terpaksalah mereka memutuskan mana yang lebih menguntungkan.

Kata pemimpin DAP, Liew Chin Tong, ada sekurang-kurang lima faktor yang dapat menjelaskan “mengapa Umno masih kaku dan beku walaupun para pemimpinnya cuba menonjolkan wajah penuh yakin untuk memenangi PRU15.” Saya tidak akan menghuraikan lima faktor yang beliau senaraikan. Cuma memetik kesimpulan yang Liew nyatakan:

“Semua faktor ini membuatkan Umno gagal menarik semula sokongan rakyat yang pernah diperolehinya suatu ketika dahulu. Malah tiada sebarang sokongan baharu yang diraihnya sejak Parlimen dibubarkan dua minggu lalu.”

Kenyataan seperti itu memanglah dijangkakan kerana ia datang daripada musuh Umno. Kalau dah musuh takkan kenyataan sebaliknya yang dikeluarkan. Bagaimanapun Umno sendiri perlu jujur menjawab kepada diri sendiri, adakah kata-kata itu betul atau tidak.

Jawapan tidak perlu diumumkan. Kita faham.

Tiada ulasan: