"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU15: Wan Saiful ke Tasek Gelugor?

Mohamad Fadli

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dijangka dicalonkan di Parlimen Tasek Gelugor pada PRU15.

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dijangka dicalonkan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sumber rapat dengan Bersatu berkata keputusan berkenaan dibuat selepas kepimpinan parti itu di Kubang Pasu dilihat lemah dan gagal menubuhkan jumlah cawangan yang cukup untuk menggerakkan kempen menjelang PRU15.

Katanya, bagi Tasek Gelugor Bersatu dijangka akan meletakkan calon “heavyweight” untuk mempertahankan kerusi itu, tambahan pula penyandangnya Shabudin Yahaya telah mengesahkan tidak bertanding dalam PRU15.

“Dijangka Wan Saiful akan mengambil alih dengan sokongan kukuh Bersatu Tasek Gelugor,” katanya kepada FMT.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), BN menang di kerusi Tasek Gelugor. Namun penyandangnya Shabudin daripada Umno berpaling tadah menyertai Bersatu, pada 2019.

Tambah sumber itu, terdapat masalah yang berlaku dalam hubungan Bersatu Kubang Pasu dengan peringkat Pusat.

Beliau berkata walaupun PAS menuntut Tasek Gelugor, parti Islam itu dirasakan boleh menerima Wan Saiful kerana latar belakangnya.

“Hubungan kurang baik di Kubang Pasu sehingga menyukarkan lagi keadaan. Sebagai bekas ahli PAS, Wan Saiful dianggap boleh mengeratkan lagi hubungan Bersatu dan PAS di Tasek Gelugor,” katanya.

Shabudin menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor selama dua penggal. Pada PRU14, beliau hanya mampu meraih majoriti tipis sebanyak 81 undi iaitu 18,547 undi menewaskan Marzuki Yahya dari PKR (18,466) dan Rizal Hafiz Ruslan dari PAS (14,891).

Pada 24 Okt lalu, Norliza Abdul Rahim disebut-sebut calon “heavyweight” Barisan Nasional (BN) yang bakal mengisi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU15.

Sementara itu, sumber berkenaan menambah, Bersatu merasakan Wan Saiful perlu diletakkan di kerusi dengan struktur bahagian yang lebih kemas dan tersusun, kerana bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu dilihat berpotensi menjadi anggota Jemaah Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan.

“Wan Saiful juga dilihat telah mula bergerak di Tasek Gelugor apabila menghadiri kursus jentera pilihan raya Bersatu Tasek Gelugor pada 22 Okt lalu.

“Meletakkan Wan Saiful di Tasek Gelugor melambangkan Bersatu yakin dengan kebolehan beliau seperti parti-parti lain yang juga memindahkan beberapa tokoh parti mereka ke kawasan strategik sebagai langkah untuk memperkukuh parti,” katanya.

Tiada ulasan: