"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wan Azizah bertanding di Bandar Tun Razak

Ng Xiang Yi

Bekas timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, bakal berpindah dari kawasan Pandan untuk bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Bandar Tun Razak.

Perkara itu disahkan beberapa pemimpin pusat dan cabang PKR kepada Malaysiakini.

Menurut mereka, pengumuman mengenai pencalonan Wan Azizah di kerusi parlimen tersebut dijangka dibuat pada Jumaat ini.

Seorang pemimpin pusat berkata, PKR meletakkan bekas presiden mereka di Bandar Tun Razak kerana dua ahli parlimen sebelum ini menongkah kehendak parti.

"PKR sudah memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 tapi dua ahli parlimen terdahulu akhirnya meninggalkan parti.

"Kami mengakui keyakinan pengundi kepada PKR (di kawasan berkenaan) tidak begitu stabil, justeru kami perlu meletakkan seorang pemimpin utama untuk mempertahankannya," kata sumber berkenaan.

Untuk rekod pada 2008 dan 2013, PKR meletakkan Allahyarham Abdul Khalid Ibrahim sebagai calon pembangkang di kawasan berkenaan. Dia turut bertanding - dan menang - di kerusi DUN Ijok.

Tinggalkan PKR

Bagaimanapun tokoh korporat yang disegani itu dipecat dari PKR pada 2014 selepas enggan mengikut keputusan pimpinan partinya.

Ketika itu PKR mahu Abdul Khalid berundur dari jawatannya sebagai menteri besar Selangor bagi memberi laluan kepada Wan Azizah.

Sebelum itu PKR cuba menaikkan Anwar Ibrahim sebagai menteri besar namun tergendala ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan ahli politik terbabit dalam kes liwat kedua.

Pada PRU ke-14 yang berlangsung pada 2018, PH meletakkan Kamarudin Jaffar sebagai calon dan dia memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti hampir 20,000.

Pada 2020 Kamarudin menjadi sebahagian daripada ahli parlimen PKR yang terlibat dalam Langkah Sheraton dengan berpaling tadah membentuk kerajaan baru bersama Umno dan PAS.

Sementara itu seorang pemimpin PKR setempat memberitahu Malaysiakini, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai pencalonan Wan Azizah dan bersedia berkempen untuknya.

Sebelum menjadi ahli parlimen Pandan, Wan Azizah pernah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh dari 1999 hingga 2008 dan 2015 hingga 2018.

Wan Azizah bertanding di situ bagi menggantikan Anwar yang dihukum penjara.

Tiada ulasan: