"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Alkisah: Pengakuan Hadi

Mohsin Abdullah

Abdul Hadi Awang, presiden PAS, mengaku secara terbuka dan di depan khalayak ramai bahawa beliaulah penggerak Langkah Sheraton pada 2020 yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.

Bercakap pada ceramah Penyatuan Ummah di Dataran Warisan, Kota Bharu pada 21 Okt lalu, Hadi mengakui berunding dengan Muhyiddin Yassin bagi memastikan “hayat kerajaan PH tidak panjang”. Selepas presiden Bersatu itu bersetuju diadakan pula rundingan dengan Umno.

“Hasil persetujuan itu maka digerakkan langkah di mana Muhyiddin mengumumkan keluar daripada PH. Saya mencadangkan presiden Bersatu sebagai calon perdana menteri baharu. Umno pun setuju ketika itu sehingga muncul kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan PH,” kata Hadi.

Mengapa Hadi membuat pengakuan itu sekarang sedangkan Langkah Sheraton sudah lama berlalu?

“Itu lah. Saya musykil juga. Seperti mendedah pekung di dada,” kata seorang pemerhati politik di Kelantan. Seorang lagi pemerhati, yang ini dari Terengganu, memberitahu saya: “Presiden PAS sekarang tak boleh dijangka. Kadang-kadang kita ‘confuse’ dengan tahap pemikirannya.”

Hadi seorang politikus berpengalaman. Masih ligat aktif. Bagi saya pasti setiap percakapannya punya muslihat politik, ada strategi, dan ada rencana. Menarik juga pengakuan dibuat satu hari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi PRU15. Jelas Hadi sudah mula berkempen untuk meraih undi, terutama undi Melayu. Sebenarnya kempen sudah lama dijalankan secara langsung dan tidak langsung.

Apa pun ketika membuat pengakuan tempoh hari, Hadi menuding jari kepada PH yang ada komponennya dakwa beliau “anti-Islam”.

Harakahdaily, lidah rasmi PAS, memetik Hadi berkata, “Statut Rom yang mahu dikaji kerajaan PH pada 2019 antara lain mewujudkan mahkamah khas bagi membicarakan raja-raja Melayu. Selain itu melibatkan penghapusan hak istimewa Islam, Melayu, Bumiputera dan sama rata agama melalui cadangan ratifikasi ICERD.”

Hadi (dan tentulah PAS) kerap menyerang PH dengan tuduhan “anti-Islam, anti-Melayu”. Kata-kata di ceramah di Kota Bharu 21 Okt penerusan serangan seumpama itu. Tidak perlu kita jadi saintis politik untuk tahu isu agama dan bangsa akan digunakan lagi untuk mendapat sokongan Melayu pada PRU15. Tuduhan ‘Islam dan Melayu terancam jika PH berkuasa’ akan dipergunakan sepenuhya.

Kata Hadi, isu berkaitan ratifikasi ICERD “telah menimbulkan bantahan rakyat” dan mencetus “kemelut”. Pastinya “bantahan rakyat” yang dimaksudkan beliau perhimpunan anti-ICERD yang diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Dis 2018, yang disertai ratusan jika tidak ribuan. Tetapi oleh kerana perhimpunan itu dianjur PAS dengan kerjasama Umno serta beberapa NGO Melayu ‘berhaluan kanan’, sebilangan besar peserta ialah ahli PAS dan sekutu.

Hadi mendakwa ekoran “kemelut” yang berlaku, beliau menggerakan rundingan dengan Muhyididn yang membawa kepada Langkah Sheraton.

Bagi saya, mesej yang ingin Hadi sampaikan menerusi pengakuannya ialah beliau menggerakkan Langkah Sheraton demi ‘bangsa dan agama’. Untuk menyelamatkan umat Melayu-Islam daripada perancangan ‘anti-Islam’. Sekali gus boleh diangkat sebagai ‘wira’ yang menyelamatkan ummah.

“Iya penyelamat bangsa dan agama konon. Memberi gambaran kerajaan PH khianat,” kata Sayuti Omar, penulis politik veteran. Berdasarkan pengakuannya saya kira bagi Hadi, Langkah Sheraton langkah penyelamat.

Bagi saya, langkah itu telah menodai mandat rakyat. Mandat diberi kepada PH menerusi PRU14 pada 2018. Itu kenyataan yang tidak boleh dinafikan. Tidak kira sama ada kita menyokong atau tidak, suka atau benci PH. Itu realitinya.

Hakikatnya sejak itu negara menyaksikan perdana menteri dilantik dan menubuhkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi menerusi peti undi. Kita saksikan juga perdana menteri itu ditumbangkan dan perdana menteri lain dilantik bersama satu lagi kerajaan (yang baharu ) mengambil alih pemerintahan. Juga bukan melalui pilihan raya.

Kita saksikan juga parti politik duduk dalam gabungan yang sama tetapi pada masa sama bergaduh dan bersengketa. Ada juga parti yang duduk atau cuba duduk dalam dua gabungan politik berasingan serentak. Tidak lupa pula ada parti yang menyertai kerajaan menyerang ketua kerajaan. Macam-macam gelagat dan tindakan pelik lain. Semua itu ialah kekalutan politik yang tidak wujud pada masa lalu. Sekarang kita alami ketidakstabilan politik.

Yang di-Pertuan Agong ketika memberi perkenan kepada permintaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk pembubaran Parlimen menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa. Benar Agong tidak menghurai dengan terperinci perkembangan yang mengecewakan baginda. Itu kita rakyat fikirlah sendiri. Kita tahu perkembangan semasa ialah kekalutan politik yang disaksikan seperti disebut tadi.

Bagi saya, kekalutan itu akibat Langkah Sheraton, jalan pintas orang politik tubuh kerajaan tanpa mendapat mandat rakyat pada pilihan raya. Langkah yang membawa negara kepada ketidakstabilan politik yang masih dirasai sehingga kini. Hadi Awang pula berbangga beliau penggerak langkah itu.

Tiada ulasan: