"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 majlis agama tarik diri dari mencelah dalam kes ‘Allah’

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan tiga majlis agama Islam negeri bertindak sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak penggunaan kalimah “Allah” oleh wanita beragama Kristian dari Sarawak bagi tujuan pendidikan agamanya.

Tiga majlis itu ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

Amicus curiae bukan pihak dalam saman undang-undang tetapi pihak yang dibenarkan untuk membantu mahkamah dengan memberi maklumat atau nasihat berkenaan beberapa perkara undang-undang yang secara langsung kepada kes itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk S.Nantha Balan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan ketiga-tiga majlis agama itu untuk bertindak sebagai amicus curiae dalam rayuan tersebut.

Yaacob, yang mengetuai panel itu bagaimanapun berkata ketiga-tiga majlis itu perlu memohon kepada panel hakim yang akan mendengar rayuan berkenaan sama ada mereka boleh berhujah di mahkamah semasa pendengaran rayuan.

Terdahulu, Yaacob membenarkan majlis agama itu menarik balik permohonan mereka untuk mencelah dalam rayuan tersebut dan membatalkan permohonan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Beliau juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Pencelah ialah seseorang yang campur tangan sebagai pihak ketiga dalam prosiding undang-undang.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili majlis-majlis itu memberitahu mahkamah bahawa susulan perbincangan dengan pihak-pihak dalam rayuan itu, telah dipersetujui bahawa majlis-majlis itu menarik balik permohonan sebagai pencelah dan sebaliknya akan bertindak sebagai amicus curiae.

Peguam Lim Heng Seng yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, mengesahkan dan memohon mahkamah membatalkan permohonan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Beliau turut juga memohon kos.

Peguam Persekutuan Noor Atiqah Zainal Abidin yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tiada bantahan terhadap penarikan balik permohonan pencelah dan juga agar majlis agama itu tampil sebagai amicus curiae.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di Putrajaya memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland. 

Dalam permohonannya, wanita itu antara lain memohon perisytiharan bahawa adalah hak perlembagaannya untuk mengakses penerbitan Kristian dalam menjalankan haknya untuk mengamalkan agama dan hak untuk pendidikan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan KDN pada 1986 yang melarang penggunaan perkataan “Allah, Baitullah, Kaabah dan solat” oleh orang bukan Islam adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.

Pengurusan kes untuk rayuan kerajaan ditetapkan pada 26 Jan.

- Bernama

Tiada ulasan: