"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Situasi politik – bila nak stabil?

Mohsin Abdullah

Hutang negara sudah cecah RM1.5 trilion jika diambil kira tanggungan. Itu kata perdana menteri sendiri sambil menjelaskan jumlah itu sudah melebihi 80% daripada KDNK serta kesan kepada unjuran ekonomi semasa.

Lantas kata Anwar Ibrahim kerajaannya mesti ambil “langkah perlu untuk menanganinya dengan segera”.

Namun keperitan rakyat menghadapi kos sara hidup tinggi dan sebagainya menuntut tindakan secepat mungkin sementara menunggu kerajaan tampil dan laksana langkah perlu untuk menangani segera beban hutang negara, seperti dikatakan Anwar.

Untuk berlaku adil kerajaan sudah laksana pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan mengkreditkannya ke dalam akaun bank penerima berdaftrar mulai semalam (Selasa 17 Jan 2023) secara berperingkat. Fasa satu membabitkan 8.7 juta golongan B40 dengan nilai sumbangan bernilai RM1.67 billion.

Itu sekadar satu contoh. Ada lagi program yang sudah atau sedang dijalankan yang saya tidak bercadang huraikan di sini kerana telah dihebahkan sebelum ini. Begitu juga sasaran dan tumpuan Belanjawan 2023 yang akan dibentang Anwar selaku menteteri kewangan pada 24 Februari ini.

Tetapi satu perkara yang ingin saya ketengahkan ialah sedutan ucapan Anwar pada majlis dialog Belanjawan 2023 semalam.

Kata beliau, negara boleh melakukan penjimatan sehingga RM10 billion daripada kebocoran yang berlaku dalam sistem perolehan kerajaan. Menurut Anwar kebocoran boleh dihentikan sekiranya amalan rasuah dibanteras di semua peringkat termasuk menghentikan campur tangan politik dan ‘penjagaan’ kepentingan peniaga besar dalam perolehan kerajaan. Amalan lama, kata beliau.

Diakui Anwar punya cara dan rancangannya untuk mengatasi masalah yang dihadapi negara. Beliau juga dilapor akan terus memperkukuhkan kerajaan perpaduan dan Jemaah Menterinya dengan menganjurkan pelbagai program.

Namun hakikatnya semua rancangan itu memerlukan suasana “kondusif” untuk dilaksanakan sehingga membawa hasil.

Dalam lain perkataan, semua itu memerlukan situasi politik stabil bagi membolehkan kerajaan terutama Anwar sendiri memberi fokus kepada apa juga rancangannya sehingga mencapai matlamat.

Persoalannya adakah situasi politik negara stabil sekarang? Bagi Anwar, situasi politik “stabil buat masa ini”. Itu kata kuncinya – buat masa ini. Tanya saya – bila situasi politik akan stabil sepenuhnya?

Ketika artikel ini ditulis, diberitakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, akan mencabar keputusan yang dibuat Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, bahawa tiada pengosongan empat kerusi Parlimen di Sabah yang dimenangi bekas ahli Bersatu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah pada PRU15 lalu.

Tidak pasti sama ada tindakan Muhyiddin membawa isu itu ke mahkamah boleh mengugat kerajaan tetapi adakah ia boleh melambatkan proses penstabilan situasi politik negara?

Bagaimana pula tindakan calon BN yang kalah kawasan Segamat mengemukakan petisyen di mahkamah untuk membatalkan kemenangan calon Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas?

Baru-baru ini pembangkang menjadikan isu perbincangan Jemaah Menteri mengenai harga daging babi menjelang Tahun Baru Cina. Saya tidak akan mengulanginya. Cukup untuk menyimpulkan yang “dikenen” ialah kerajaan mengutamakan daging babi untuk orang Cina daripada telur ayam makanan untuk semua (baca: orang Melayu). Tanpa berkata terang mesejnya juga ialah kerajaan dikuasai DAP. Yang tersurat dan yang tersirat.

Begitu juga nadanya apabila jumlah tiket perlawanan separuh akhir bola sepak Piala AFF antara Malaysia dan Thailand terpaksa dikurangkan bagi membolehkan pentas konsert Jay Chou didirikan.

Bola sepak sukan kegeraman semua rakyat (baca: Melayu) , konsert membabitkan penyanyi Taiwan (Cina) dan menteri sukan ialah wakil DAP. Tanpa perlu dilaungkan secara terbuka ramai yang sekali lagi faham yang tersirat dan yang tersurat.

Saya tanya lagi – adakah ini memanaskan iklim politik yang tersedia panas ? Melambatkan proses menstabilkan situasi politik?

Pada pandangan Mujibu Abd Muis dari Ilham Centre, apabila Anwar berkata situasi politik stabil “buat masa ini” beliau mungkin lihat selepas perhimpuan agung Umno bila tiada pertandingan “top two”, maka sokongan Umno “intact” kepada PH sebab tiada internal conflict dalam Umno dan kem Zahid Hamidi selamat.

Ya memang Anwar rujuk kepada PAU tempoh hari terutama keputusan tidak ada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden. Beliau dilapor berkata keputusan itu membantu tenteramkan keadaan sementara waktu.

Sebenarnya memang Umno ada konflik dalaman berikutan keputusan tiada pertandingan itu. Pelbagai rungutan dan kritikan disuarakan pihak yang mahu pertandingan diadakan. Ada mendakwa usul tambahan mengenai tidak ada pertandingan tidak sah dan sebagainya.

Ismail Sabri Yaakob, naib presiden Umno, mendakwa kesahihan parti membawa dan menerima usul itu boleh ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Namun apabila ditanya wartawan sama ada beliau sendiri akan mmbawa perkara itu kepada JPPM beliau memberi jawapan berikut: “Tidak. Saya hanya sebut ada dua pandangan berbeza”.

Bolehkah itu dilihat Ismail mahu orang lain (ahli parti) mengorak langkah seterusnya? Adakah akan menjejaskan lagi situasi politik negara?

Apa pun menurut Mujibu, perdana menteri mesti bina momentum daripada apa yang berlaku dengan “perform”.

Kata beliau, “mungkin gunakan bajet dan ‘basket economy’ terutama untuk orang Melayu. Kemudian teruskan pendekatan ‘moderate populis’ yang ketika ini nampak berjaya tenggelamkan gelombang lawan yang tak dapat timbulkan isu selain guna Melayu-Islam dan serangan troll kecil isu-isu remah”.

Penganalisis politik Sivamurugan Pandian pula berkata Anwar tahu beliau memerlukan kestabilan politik bagi mengelakkan kegawatan yang boleh menamatkan tempoh beliau sebagai perdana menteri sebelum tempoh lima tahun tiba.

Namun kata Siva, dengan berkata situasi poltik stabil “buat masa ini” menunjukkan Anwar yakin isu persepsi politik yang dihadapi kerajaan diurus baik ketika ini.

Kerajaan sekarang menurut beliau seperti umum tahu ialah koalisi lima blok dan Anwar perlu lebih masa sebelum boleh berkata situasi politik sudah stabil.

Apa pun kestabilan politik diperlukan. Lebih cepat lebih bagus.

Tiada ulasan: