"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP PKR, Hassan Karim Kata Anwar dalam dilema kerana Zahid

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim bersimpati dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang katanya dalam dilema kerana timbalannya, Zahid Hamidi, ada kes di mahkamah.

Wakil rakyat PKR itu menulis di Facebook, kerajaan Anwar tidak dapat mengelak jika rakyat bertanya bagaimana pentadbiran sekarang boleh dihormati jika timbalan perdana menterinya sedang dibicarakan atas tuduhan jenayah rasuah dan pecah amanah.

“Inilah dilema Anwar. Tolak kerjasama dengan Umno-BN yang dipimpin timbalan perdana menteri bererti kerajaan Anwar tumbang,” katanya.

Namun, meneruskan kerjasama dengan Zahid juga menjejaskan imej Anwar, PKR, dan Pakatan Harapan yang membawa agenda reformasi, tambahnya.

Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah, dan 27 tuduhan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hassan berkata, jika Zahid didapati tidak bersalah, dilepaskan dan dibebaskan, Anwar akan dituduh campur tangan dalam urusan mahkamah.

Beliau seterusnya menyoal adakah peguam negara akan memfailkan rayuan sekiranya Zahid dilepaskan.

Katanya, tidak wujudkah percanggahan kepentingan kerana peguam negara penasihat kepada kerajaan, yang juga dianggotai Zahid.

Tambahnya, Anwar juga akan dikritik sekiranya peguam negara tidak membuat rayuan.

“Inilah susahnya dan dilemanya yang sekarang dihadapi Anwar kerana melantik timbalan perdana menteri yang ada kes di mahkamah,” katanya.

Hassan berkata, reputasi Anwar, PKR, dan PH sebagai pembawa agenda reformasi akan beransur hilang dan tidak dipercayai rakyat lagi jika kerjasama dengan Zahid diteruskan.

“Umno-BN dari kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah ini boleh diibaratkan sebagai virus yang sedang menjangkiti Anwar, PKR, dan PH.

“Tiada vaksin untuk menawar racun toksik ini. Jalan kesudahannya mungkin maut dan mati,” katanya.

Tiada ulasan: