"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja perempuan 14 tahun maut dihempap pokok tumbang

N S Ramli

Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala selepas dihempap dahan pokok dalam kejadian ribut di Kampung Balok Baru, dekat Kuantan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dikatakan sedang bermain dengan adiknya di kawasan taman permainan ketika kejadian dan tidak sempat menyelamatkan diri apabila sebatang pokok tiba-tiba tumbang.

"Laporan mengenai insiden itu dibuat bapa mangsa, Mohamad Hasnizan Manan, 45, di Balai Polis Beserah kira-kira jam 9 malam tadi.

"Mangsa dikenali sebagai Aliya Zahra, berusia 14 tahun dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pelabuhan, dekat Gebeng.

"Kejadian itu berlaku antara jam 5 hingga 6 petang ketika mangsa dan adiknya berusia sembilan tahun sedang bermain di taman permainan Taman Balok Baru 1, Beserah sebelum ribut melanda kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, lewat malam tadi.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan awal di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Wan Mohd Zahari berkata, bapa mangsa adalah seorang peniaga burger dan berada di gerai miliknya kira-kira 90 meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 6.35 petang.

"Laporan itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng berkaitan kes pokok tumbang menghempap kanak-kanak perempuan, empat buah kenderaan awam dan kabel elektrik.

“Sebaik menerima laporan, seramai tujuh pegawai dan anggota dari BBP Gebeng dihantar ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

“Pasukan bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan keluarga mangsa," katanya.

Tiada ulasan: