"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya tak fikir panjang, terus terjun ke dalam tasik...'

Mohamad Fahd Rahmat

bhnews@bh.com.my

Tiga mangsa (depan) yang berjaya diselamatkan. Gambar kanan, kereta yang terbabas ke dalam tasik. - FOTO tular.

Tiga mangsa (depan) yang berjaya diselamatkan. Gambar kanan, kereta yang terbabas ke dalam tasik. - FOTO tular.
BATU PAHAT: Seorang lelaki sanggup menggadai nyawa menyelamatkan tiga individu hampir lemas selepas Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas dan terjatuh ke dalam tasik dekat Kampung Jorak Elahi, Bukit Pasir, di sini, tengah hari tadi.

Penolong penyelia kilang, Suzaini Mohd Sadali, 43, bertindak demikian selepas menyedari nahas berkenaan ketika dia sedang memandu kereta berhampiran tasik terbabit.

"Saya sedang memandu kereta melalui kawasan sebelah tasik dan ternampak kereta terbabas ke dalam tasik lalu terus berhenti sebelum ternampak dua mangsa perempuan di sebelah tempat duduk pemandu dan penumpang belakang berpaut pada badan kereta sambil menangis.

"Pemandu kereta, seorang lelaki pula sudah terkapai-kapai. Bila nampak saya, dia menjerit minta tolong, saya terus terjun tanpa fikir apa-apa, tak fikir panjang kerana kasihan melihat mereka terkapai-kapai dan menjerit minta tolong," katanya.

Katanya, dia berjaya membawa mangsa lelaki ke tepian tasik sebelum dua lelaki lain membantu menyelamatkan dua wanita berkenaan dengan menarik kedua-dua mangsa ke tebing.

"Alhamdulillah, semua berjaya kami selamatkan. Memang ini pengalaman tak boleh dilupakan, baru saya tahu, tasik ini memang dalam," katanya.

Suzaini berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama anak lelakinya, Muhammad Haziq Asyraf, 12, dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Yaani selepas anaknya mendapatkan pemeriksaan mata di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di pusat bandar.

"Saya memang tahu berenang dan tasik ini juga sering jadi lokasi saya memancing. Selepas menyelamatkan lelaki itu, baru saya tahu penat bukan kepalang dan saya memang sudah tak larat lagi untuk selamatkan dua yang lain.

"Mujur ada dua lelaki datang membantu hingga kami berjaya menarik semua mangsa ke tebing dengan menghulurkan kayu yang ada di kawasan itu," katanya.

Kejadian terbabit tular di media sosial dengan komen-komen memuji tindakan Suziani dan mereka yang membantu menyelamatkan tiga mangsa berkenaan.

Tiada ulasan: