"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH Selangor tak akan serah kerusi kepada BN, kata pemimpin Amanah

Elill Easwaran

HULU LANGAT: Pakatan Harapan (PH) Selangor akan mempertahankan semua 40 kerusi dimenangi pada pilihan raya umum 2018 walaupun gabungan itu kini mempunyai kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), kata seorang pemimpin Amanah.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Amanah, Sany Hamzan, berkata beliau difahamkan setakat ini PH tidak akan memberi laluan kepada BN di kerusi dimenanginya pada 2018.

“Kerusi yang akan dibincangkan (dengan BN) membabitkan kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.

Enam kerusi dimenangi Bersatu manakala satu oleh PAS.

“Kita perlu situasi menang-menang untuk semua dalam rundingan pembahagian kerusi dan faktor akan diambil kira seperti jentera, kewangan serta calon,” kata Sany yang juga ADUN Taman Templer

Beliau berkata sebelum kerajaan perpaduan ditubuhkan, parti yang menganggotai PH sudah pun berunding mengenai peruntukan kerusi.

Berhubung tanggapan Amanah adalah komponen paling lemah dalam PH, Sany berkata parti itu sebenarnya boleh menang banyak kerusi jika diberi peluang bertanding di lebih banyak kawasan.

“Kami perlu kerusi campuran (membabitkan pengundi pelbagai kaum) kerana kita tahu PH mempunyai kelebihan di kerusi ini.

“Tetapi kami faham yang kami tidak boleh membuat banyak tuntutan kerana Amanah adalah parti baharu, bukan seperti PKR dan DAP,” katanya.

Beliau turut menjangkakan DUN Selangor bakal dibubarkan Mei dengan pilihan raya pada bulan berikutnya.

Pilihan raya negeri di negeri ditadbir PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta Kedah, Kelantan serta Terengganu yang ditadbir PAS bakal diadakan pada tahun ini.

Tiada ulasan: