"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saari Sungib: Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru [Siri 5]

Malaysiakini

Saari Sungib

Salam sejahtera dan salam perjuangan.

Tuan Guru,

Adakah Tuan Guru setuju jika saya katakan, sebagai golongan du‘at yang memperjuangkan islah dan tajdid dalam kerangka demokrasi serta pilihanraya, PAS mestilah sentiasa berlaku adil terhadap sejarah?

Apakah pula makna berlaku adil terhadap sejarah itu?

Seperti yang sering Tuan Guru katakan, PAS mesti berdiri teguh dengan perakuan bahawa parti itu adalah sebuah gerakan Islam.

Lebih khusus, PAS adalah sebuah parti Islam pertama di dunia yang telah berjaya membentuk kerajaan atas dasar demokrasi apabila menang di Terengganu dan Kelantan pada PRU pada 1959.

Tuan Guru, sudah tentu Tuan Guru tahu bahawa parti Islam di Mesir dan Pakistan turut bersetuju untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya bagi menggerakkan tugas-tugas islah dan tajdid.

Mereka bagaimanapun gagal mencapai tahap kemenangan kerusi dalam percubaan mereka.

Di Mesir, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Hassan al-Banna, akhirnya menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya untuk memilih ahli-ahli parlimen negara tersebut.

Di Pakistan, Amir Jamaati-Islami, Sayyid Abul A’la al-Maududi - walaupun sebagai tokoh ilmuan dan ulama terkenal dunia Islam ketika itu - juga tidak berjaya seperti mana berjayanya PAS.

PAS menang dan dapat mentadbir dua negeri melalui pilihan raya. Kalau Tuan Guru setuju bolehlah saya katakan bahawa adakala PAS belajar daripada mereka, dan adakalanya mereka juga perlu belajar daripada PAS.

Tuan Guru, maksud saya berlaku adil dengan sejarah ialah mengakui bahawa seperti sahabat-sahabat kita yang lain, PAS memilih berjuang melalui demokrasi dan pilihan raya atas kesederhanaan mesej yang diperjuangkan.

Sudah ‘penuh sesak’

Dalam konteks ini, mesej Islam yang sederhana itu ialah dalam semangat untuk bersama. Tiada unsur keterlaluan dalam mengajak rakyat menyokong dan mengundi PAS.

Adakah Tuan Guru masih ingat dalam satu pertemuan Tuan Guru dengan pelajar-pelajar Malaysia di AS, Tuan Guru menyatakan bahawa PAS tidak mengeluarkan kenyatan-kenyataan berbau perkauman semasa berkempen?

Bahkan dengan kemenangan di Kelantan dan Terengganu dulu, PAS menghormati dan tidak khianat terhadap tahaluf serta tidak menyalahgunakan demokrasi.

Alhamdulillah, pada dasarnya PAS mempamerkan akhlak mulia dalam politik dan ia telah diwariskan kepada lapisan kemudian.

PAS sebaliknya telah dikhianati sehingga kehilangan Terengganu, manakala pemimpin utamanya ditahan di bawah ISA. Tetapi PAS dapat bertahan di Kelantan sehinggalah mereka termakan helah Umno-Perikatan bahawa perlu sebuah kerajaan campuran di peringkat persekutuan apabila tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

Padahal yang sebenarnya Umno-Perikatan telah kalah banyak kerusi dan hanya mempunyai majoriti yang tipis untuk membentuk kerajaan di beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.

Tuan Guru, setelah terbuangnya PAS dari kerajaan BN, Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berusaha gigih untuk menempatkan beberapa orang pemimpin, ilmuan dan intelektual ke dalam PAS.

Langkah itu disambut baik oleh Mohd Asri Muda. Kemungkinan juga tempat dia akan digantikan oleh Anwar. Tetapi secara mengejut ia tidak berlaku dan Anwar memilih untuk menyertai Umno.

Ahmad Lutfi Othman menulis dalam bukunya, Lorong Sunyi Media Bebas,  bahawa tatkala Anwar baru saja mahu melangkah masuk menganggotai PAS, dia terkejut apabila melihat parti itu sudah ‘penuh sesak’.

Saya juga bersetuju apabila Ahmad Lutfi menyatakan bahawa PAS telah berubah kepada satu pendekatan Islam yang berorientasikan Revolusi Iran.

Terdapat satu aliran yang sangat kuat dalam PAS ketika itu yang percaya bahawa hanya mengambil contoh Revolusi Iran mereka akan berjaya. Contohnya kejayaan mengusir mustakbirin Amerika dengan pendekatan revolusioner.

Mereka beranggapan bahawa Ikhwan Muslimin juag telah gagal. Oleh itu sistem tarbiah ala Ikhwan juga turut gagal.

Tuan Guru, mereka yakin bahawa faktor kejayaan Revolusi Iran ialah kemampuan Ayatullah Khomeini mengolah konsep Wilayatul Faqeh yang mendapat kesetiaan seluruh rakyat.

Justeru mereka menyamakan Wilayatul Faqeh sebagai kepimpinan ulama.

Tuan Guru, saya masih mencari jawapan adakah ini yang dikehendaki oleh Islam? Walak menjadi ciri terpenting dalam PAS sehingga kini. Kepimpinan ulama dijadikan sebagai alasan untuk ahli memberikan ketaatan walaupun ia adalah sebuah mimpi.

Apakah ini ciri-ciri gerakan Islam yang baik? Di manakah hujah berdasarkan al-Quran, sunnah, ijmak dan qias sebagai sumber rujukan bagi membuat keputusan menentukan hala tuju perjuangan PAS?

Apakah Anwar yang perlu dipersalahkan atas kelemahan PAS ini?

Lihatlah tingkah laku ahli-ahli PAS yang Tuan Guru pimpin kini terutamanya semasa mempunyai kekuasaan. Mereka kelihatan terlalu membenci Anwar.

Maka Tuan Guru, selamilah hati nurani sendiri.

Tiada ulasan: