"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN Selangor: Penganalisis ramal peluang PH cerahP

Dineskumar Ragu

PETALING JAYA: Penganalisis politik meramalkan Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang cerah dalam pilihan raya negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan tahun ini.

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Barisan Nasional (BN) berkemungkinan hilang beberapa kerusi kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau memberitahu FMT, parti utama BN iaitu Umno kini berkeadaan paling lemah dalam sejarahnya dengan pecah belah antara kelompok menyokong pemimpin tertinggi, Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan, dengan yang mendesak perubahan kepimpinan.

Katanya, dalam keadaan sekarang Umno akan hilang undi Melayu yang diraih dalam PRU15 kepada PAS serta Bersatu daripada PN.

“Susulan apa yang berlaku baru-baru ini dalam Perhimpunan Agung Umno, saya rasa Bersatu mampu memenangi beberapa kerusi di negeri itu, tetapi bukanlah sehingga menggulingkan kerajaan negeri PH kerana saya percaya PH dan BN akan bekerjasama dengan baik dari segi pembahagian kerusi,” katanya.

Beliau turut meramalkan BN akan mengekalkan empat kerusi dimenangi dalam PRU14 iaitu Hulu Bernam, Sungai Burong, Sungai Panjang dan Sungai Air Tawar.

Pada perhimpunan agung minggu lalu, Umno memutuskan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir pihak yang mahu melihat perubahan dilaksanakan susulan prestasi hambarnya dalam PRU15.

Bekas ketua Umno Selangor Noh Omar menyuarakan kebimbangan keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu akan menjejaskan peluang parti dalam PRN yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi menyuarakan keyakinan PN berpeluang cerah menang dalam PRN selepas merampas enam kerusi Parlimen daripada PH dan BN pada PRU15.

Azmi dan seorang lagi penganalisis, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berpendapat PKR mampu meraih lebih banyak kerusi dalam PRN di Selangor berbanding PRU15.

Awang Azman berkata, penerimaan positif umum terhadap presiden parti, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan memastikan PKR mampu menambat hati pengundi.

Pada PRU15, PN merampas beberapa kubu kuat PKR seperti Kapar, Kuala Langat dan Hulu Selangor, selain kerusi Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar serta Tanjong Karang.

Azmi dan Awang Azman bersetuju gandingan PH-BN mampu mengalahkan PN di negeri itu. Bagaimanapun, Awang Azman berpendapat perkara itu bergantung kepada sejauh mana dua gabungan berkenaan mampu bekerjasama.

Azmi meramalkan kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor (Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali) serta Sungai Besar (Sungai Panjang dan Sekinchan) akan menyaksikan pertandingan sengit dalam PRN kelak.

Tiada ulasan: