"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pukul lelaki hingga mati, 2 pengawal keselamatan ditahan

Bernama

BANTING: Polis menahan dua pengawal keselamatan dipercayai memukul seorang lelaki hingga mati dalam pergaduhan berhampiran sebuah kedai runcit di sekitar Olak Lempit, di sini 11 Jan lalu.

Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan tercetus apabila mangsa yang juga kelindan lori disyaki sedang mengedar dadah di kawasan berkenaan kira-kira 10.45 malam.

Beliau berkata, beberapa individu yang melihat perbuatan tersebut kemudian bertindak memukul mangsa yang berusia 24 tahun dengan objek tumpul sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh orang awam yang menyaksikan pergaduhan tersebut.

“Sampai di tempat kejadian, polis menemukan sebuah beg dibawa oleh mangsa yang berisi 10 peket dadah jenis syabu seberat 3.93 gram dianggar bernilai RM2,000.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang namun pada Isnin lalu, pihak hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia 2.15 pagi akibat hentakan kuat pada bahagian kepala,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, susulan itu, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat mencari suspek berkaitan kejadian dan berjaya menahan seorang lelaki di sekitar Banting pada kira-kira 2.15 pagi, 13 Jan diikuti seorang lagi lelaki di kawasan sama tiga hari kemudian.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Katanya, kedua-dua pengawal keselamatan berusia 41 dan 31 tahun itu direman hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

“Pihak polis masih mencari suspek lain untuk membantu siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: