"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar dan ilham madani

Malaysiakini

Kerajaan baru dilapor menggunakan dasar Malaysia Madani selepas Keluarga Malaysia diperkenalkan oleh perdana menteri terdahulu, Ismail Sabri Yaakob.

Slogan itu menjadi tema majlis dialog Belanjawan 2023 bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi semalam.

Berikut adalah penjelasan ringkas mengenai konsep madani di negara ini.

Konsep Madani di Malaysia

Anwar Ibrahim dikatakan mula berminat dan bercakap mengenai konsep madani seawal 1970 lagi iaitu ketika dia masih berada pada tahun-tahun menuntut di Universiti Malaya.

Menurut bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Anuar Tahir, semasa tempoh itu Anwar banyak bercakap mengenai isu kemiskinan, golongan terpinggir, kebejatan dan pentingnya kerajaan mewujudkan masyarakat yang saksama.

Ia lebih ditegaskan dengan terperinci oleh Anwar ketika dia menulis dan menyiapkan buku The Asian Renaissance yang diterbitkan pada 1996.

Menurut Anuar lagi kerana keinginan dan minat Anwar kepada gagasan tersebut justeru dia memperkenalkan istilah "masyarakat madani" sebagai tafsiran kepada ungkapan civil society.

Namun kata Anuar gagasan itu tidak mendapat sambutan daripada golongan cendekiawan di Malaysia sebaliknya mendapat reaksi menggalakkan apabila ia disyarahkan kepada orang ramai semasa Festival Istiqlal di Jakarta.

Makna madani

Untuk penjelasan mudah, berdasarkan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, madani bermaksud kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.

Ia juga merujuk kepada usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan.

Sejarah

Menurut Prof Emeritus Osman Bakar tokoh terawal yang membincangkan perkataan madani ialah Abu Nasr Muhammad Al-Farabi (Al-Farabi), selain Abdul Rahman Muhammad Khaldun (Ibn Khaldun) dan Abu Ali Aḥmad Muḥammad Yaqub Miskawayh (Ibn Miskawayh).

Dikatakan mereka berjaya membincangkan persoalan madani itu secara matang dan mendalam berbanding tokoh pemikir dan ahli falsafah terdahulu.

Menurut Osman, Al-Farabi banyak menggunakan perkataan madani atau madaniyah dalam tulisannya, terutama dalam bidang politik serta melalui konteks yang pelbagai.

Misalnya dia menggunakan perkataan madani (al-ilm al-madani) untuk merujuk kepada cabang ilmu sains politik. Namun ada pandangan yang menganggap penggunaan madani untuk konteks itu kurang tepat.

Hal itu kerana ada perkataan lain yang dianggap lebih menggambarkan keadaan politik sebenar iaitu siasah.

Makna madani yang lebih jelas dan menyeluruh berdasarkan kepada penjelasan Al-Farabi serta beberapa pemikir lain ialah ilmu peradaban atau ketamadunan.

Pada pandangan Al-Farabi ada dua bahagian utama ilmu madani.

Pertama, bidang pengajian tentang pelbagai jenis perlakuan dan cara hidup manusia termasuk akhlak dan persoalan jiwa.

Ilmu madani akan dapat membezakan sesuatu kebahagian sama ada ia suatu kebahagiaan sejati/sebenar, atau sebaliknya. Ia juga menjelaskan bahawa matlamat akhir bagi kehidupan manusia ialah mencapai kebahagian abadi.

Ia akan dapat dicapai jika manusia memiliki sifat-sifat terpuji melalui penghayatan nilai-nilai murni dan hal-hal mulia.

Bahagian kedua ilmu madani ialah:

* Pengajian mengenai kaedah mengatur sistem akhlak dan pekerti terpuji serta cara hidup bermoral dalam sesebuah negara,
* Peranan dan fungsi institusi politik - khususnya melibatkan kerajaan - bagi memastikan wujudnya adab dan tertib,
* Program/aktiviti yang menjamin terpeliharanya adab yang baik bagi negara,
* Jenis-jenis sitem politik yang tidak berdasarkan akhlak yang baik, fungsi yang dimainkan, tabiat serta cara hidup yang ingin diwujudkan melalui sistem sesebuah kerajaan.

Osman menjelaskan dalam tulisannya, Agama dan Budaya Teras Masyarakat Madani (Jurnal Usuluddin, 30 Jun 1997), berdasarkan pandangan Al-Farabi, masyarakat madani itu ialah masyarakat yang dibentuk atas asas bekerjasama untuk mencapai kebahagiaan sejati bagi seluruh anggotanya.

Dalam masyarakat madani setiap anggotanya saling bekerjasama dan ia bukan semata-mata demi kepentingan diri/peribadi malah untuk kepentingan bersama.

Justeru, katanya, kumpulan tersebut dianggap sebagai manusia madani. Mereka mahukan kebahagiaan dan kesempurnaan untuk seluruh umat manusia.

Dalam buku Fusul al-Madani, Al-Farabi menjelaskan madani pada tahap rendah ialah masyarakat yang saling bekerjasama untuk memperoleh kebahagiaan peribadi, bersifat kebendaan.

Masyarakat madani pada tahap tinggi pula ialah setiap anggota bersama-sama membangunkan tamadun yang tinggi dengan matlamat mencari serta menegakkan kebenaran, mencapai kebahagiaan, memupuk rasa sayang kepada ilmu serta memakmurkan masyarakat dengan hal-hal yang mulia.

Ibn Miskawayh pula semasa menjelaskan maksud madaniyah berkata, ia merujuk kepada kemakmuran yang dicapai menerusi kerjasama, serta keadilan masyarakat dan kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

Madani era 1990-an

Pada 26 Sept 1996 semasa menyampaikan syarahan di Festival Istiqlal di Jakarta, Anwar antara lain menyatakan: "Yang kita maksudkan dengan masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan di antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat."

Dia juga menyentuh mengenai sistem sosial yang cekap dan saksama serta pelaksanaan pemerintahan yang mengikut kehendak undang-undang, bukannya nafsu atau keinginan perseorangan, serta kepentingan ketelusan dalam pemerintahan.

Kata Anwar sistem sosial dan ekonomi yang tidak telus serta dicemari rasuah berleluasan bukan sekadar akan menjauhkan pelabur bahkan lebih teruk lagi, menindas majoriti rakyat.

Suasana seperti melebarnya sikap melampau, kemiskinan dan kemelaratan, ketidakadilan, kejahilan, kelesuan intelektual pula adalah petanda wujud krisis madani.

Dalam konteks Malaysia, kata Anwar, keutamaan adalah usaha membentuk sistem politik stabil yang berlandaskan kepada demokrasi, membasmi kemiskinan dan kemelaratan, dan mengagihan ekonomi secara saksama.

Setiap satu aspek itu saling berkait dan hanya akan berjaya jika semuanya dapat ditangani.

Pemerintah melunaskan tanggungjawab dan amanah, manakala rakyat memberikan sokongan kepada usaha kerajaan bagi menjayakan reformasi ekonomi serta sosial.

Madani hari ini

Dalam konteks sekarang, istilah Madani yang diperkenalkan kerajaan sebagai dasar negara merujuk kepada enam komponen utama melibatkan:

* Kemampanan (ditulis keMampanan)
* Kesejahteraan (ditulis kesejAhteraan)
* Daya cipta (ditulis Daya cipta)
* Hormat (ditulis hormAt)
* Keyakinan (ditulis keyakiNan
* Ihsan (ditulis Ihsan)

Hal itu dinyatakan Anwar dalam buku terbarunya, Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi.

Semua komponen tersebut ditekankan harus berfungsi secara bersama agar dasar yang lebih manusiawi dapat dihasilkan negara.

Segala dasar kerajaan pula digubal dan dilaksanakan secara perundingan serta melalui maklum balas daripada rakyat.

Dalam dasar Malaysia Madani, matlamat yang ingin dicapai ialah sebuah masyarakat yang maju, terampil dan terangkum.

Tiada ulasan: