"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perdagang bayi, 2 termasuk jururawat mengaku tak salah

FMT Reporters
NOOR Azlina dan Murugamal dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PETALING JAYA: Dua wanita termasuk jururawat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh, Perak, atas dakwaan secara bersama memperdagangkan seorang bayi perempuan lebih dua tahun lalu.

Jururawat di sebuah hospital di Alor Setar, Kedah, Noor Azlina Mohd Nasir, 41, dan suri rumah, D Murugamal, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norashima Khalid, lapor Berita Harian.

Mereka dituduh secara bersama dengan niat memperdagangkan seorang bayi perempuan yang ketika kejadian berusia sembilan hari.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira 12 tengah hari pada 18 Jun 2020 di kawasan tempat letak kenderaan berdekatan sebuah hospital swasta di Manjung, Perak.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Firdaus Mohd Faruq.

Evangelin memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh sebelum Firdaus merayu ia ditetapkan pada kadar minimum dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya kedua-dua tertuduh tetap hadir ke mahkamah selepas mereka dilepaskan dengan jaminan polis.

Selain itu, Firdaus turut memohon mahkamah mengambil kira Murugamal yang tidak bekerja dengan tertuduh turut mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit jantung dan kencing manis.

Tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dan mahkamah menetapkan 24 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan: