"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas maut selepas gaduh kerana hutang RM250

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas maut selepas bergaduh dengan lelaki lain yang dipercayai berhutang RM250 dengannya dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima Kepong, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 6.45 pagi tadi, mangsa berusia 76 tahun ditemui meninggal dunia di tepi jalan kira-kira 100m dari lokasi pergaduhan.

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.30 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun.

“Mangsa dikatakan dipukul oleh suspek menggunakan kerusi plastik manakala mangsa juga membalas serangan itu dengan sebatang rod kabel.

“Pergaduhan itu kemudian dileraikan oleh beberapa anggota Rela yang berada di tempat kejadian dan mangsa kemudian beredar dengan berjalan.

“Bagaimanapun ketika berjalan meninggalkan tempat kejadian, mangsa kemudian rebah dan disahkan meninggal dunia selepas itu,” katanya dalam kenyataan.

Susulan kejadian itu, Beh berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 63 tahun pada 11 pagi tadi ketika hadir ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan.

“Sebuah kerusi plastik putih dan sebatang rod kabel warna hitam yang digunakan dalam pergaduhan itu turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Punca pergaduhan dipercayai kerana masalah hutang di mana suspek gagal membayar hutang kepada mangsa sebanyak RM250,” katanya.

Beliau berkata, suspek akan ditahan reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Polis Sentul juga menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi bilik gerakan IPD Sentul di 03 40482206 bagi membantu siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: