"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bicara penuh untuk batal kemenangan PN di Masjid Tanah, Kemaman

Ho Kit Yen
Mas Ermieyati Samsuddin dan Che Alias Hamid masing-masing memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah dan Kemaman atas tiket Perikatan Nasional.
PUTRAJAYA: Dua petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kerusi Parlimen Masjid Tanah dan Kemaman pada PRU15 berhubung dakwaan rasuah akan dibicarakan penuh.

Kerusi Masjid Tanah dimenangi Mas Ermieyati Samsuddin, manakala kerusi Kemaman dimenangi Che Alias Hamid.

Kedua-duanya daripada Perikatan Nasional (PN).

Panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata terdapat isu yang perlu diteliti dalam perbicaraan penuh.

Abdul Hakim Abdul Wahid daripada Barisan Nasional (BN) yang tewas kepada Mas Ermieyati cuba mencabar kemenangannya dengan mendakwa terdapat unsur-unsur rasuah semasa kempen pilihan raya yang menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sementara itu, pengundi Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Hamid di Kemaman memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Che Alias, dengan mendakwa Ahli Parlimen itu atau ejennya telah melakukan rasuah.

Awal tahun ini, mahkamah pilihan raya di Melaka dan Terengganu membatalkan petisyen mereka terhadap Mas Ermieyati dan Che Alias atas alasan ia cacat.

Berikutan itu, Abdul Hakim dan Hisham memfailkan rayuan untuk mengembalikan semula petisyen tersebut.

Mahkamah Persekutuan menetapkan pengurusan kes bagi Masjid Tanah pada 5 Mei, dan Kemaman pada 8 Mei.

Tengku Maimun berkata kedua-dua petisyen pilihan raya akan didengar di hadapan hakim pilihan raya baharu.

Abdul Hakim dan Hisham diwakili peguam Hafarizam Harun. Peguam Yusfarizal Yusoff dan Wan Rohimi Wan Daud masing-masing mewakili Mas Ermieyati dan Che Alias.

Hafarizam memberitahu pemberita, Mahkamah Persekutuan juga akan mendengar rayuan terhadap dua petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Putrajaya dan Gua Musang pada 19 Jun.

Kedua-dua petisyen telah dibatalkan oleh mahkamah pilihan raya di Kuala Lumpur dan Kota Bharu pada Februari dan Mac.

Hafarizam juga berkata mahkamah pilihan raya Kuala Terengganu akan memutuskan pada 26 Jun ini berhubung usaha BN untuk menyingkirkan Ahli Parlimen Marang Hadi Awang.

Tiada ulasan: