"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

Bernama
MELAKA: Seorang wanita Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas dua pertuduhan menyerang seorang pegawai polis dan menghalang tugas penjawat awam, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Nguyen Thi Cam Nhung, 28, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap Inspektor Mohd Shahrol Firdaus Senawi dengan sebilah gunting mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa menghalang tugas rasmi penjawat awam mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Wanita itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Silverscape Resident, Element Mall, Jalan Syed Abdul Aziz, pada 9.30 malam, 16 April lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J Banusha menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga Malaysia dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap minggu serta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah memohon mahkamah memberikan jumlah jaminan rendah atas alasan tertuduh tidak bekerja dan mempunyai seorang anak autisme berusia tiga tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga Malaysia dan menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen serta menyediakan jurubahasa Vietnam.

Tiada ulasan: