"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu Myvi acu pistol selepas berang dihon

HADI AB. MANAP
PISTOL angin jenama Wingun Patent Super Sport 702 Cal. 6mm BB yang dirampas polis bersama enam peluru jenama Wingun 700 dan satu bungkusan lut sinar mengandungi manik plastik warna hijau.
 
MELAKA: Seorang mekanik berdepan detik cemas selepas diacukan sepucuk pistol di kepalanya dalam kejadian di hadapan Melaka Mall di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, insiden berlaku berikutan suspek yang memandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi berasa tidak puas hati apabila mangsa yang menunggang motosikal membunyikan hon kepadanya.

Jelasnya, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 24 tahun telah bergelut dengan suspek berumur 29 tahun sebelum berjaya merampas senjata berkenaan.

Beliau berkata, suspek kemudian bertindak melarikan diri dengan kenderaannya, namun berjaya ditahan oleh mangsa dengan bantuan orang awam.

“Pergaduhan berlaku apabila suspek dikatakan tiba-tiba membuat pusingan U di lampu isyarat di Jalan Lebuh Ayer Keroh menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal membunyikan hon dan menjerit perkataan ‘hoi’ kepada suspek.

“Suspek mengarahkan mangsa berhenti di hadapan Melaka Mall dan telah mengeluarkan sepucuk pistol sebelum mencekak belakang leher mangsa menggunakan tangan kanan dan mengacukan senjata itu di kepala kiri mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Christopher, semakan mendapati, suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan sedang menjalani pengawasan (PS) di Balai Polis Bukit Baru sejak 1 November 2021 sehingga 1 November 2023, atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Ujarnya, saringan ujian air kencing suspek bagaimanapun negatif dan dia kini ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 (1) (a) Akta Senjata Api 1960.

“Suspek mengakui telah membeli senjata berupa pistol angin jenama Wingun Patent Super Sport 702 Cal. 6mm BB itu daripada rakannya dan kini pihak polis sedang mengesan individu terbabit untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas enam peluru jenama Wingun 700 dan satu bungkusan lut sinar mengandungi manik plastik warna hijau,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: