"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pembantu Anwar diarah bayar RM80,000 kepada Yusoff Rawther

FMT Reporters

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menolak rayuan terhadap bayaran ganti rugi oleh setiausaha akhbar Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah atas tuduhan memfitnah Yusoff Rawther.

Bagaimanapun, Hakim Khadijah Idris membenarkan rayuan Tunku Nashrul berkenaan jumlah pampasan dan mengurangkan jumlah yang diberikan oleh mahkamah sesyen tahun lalu daripada RM200,000 kepada RM80,000.

Beliau juga memberi Yusoff, bekas pembantu penyelidikan Anwar, RM6,000 sebagai kos.

Peguam Yusoff, Haniff Khatri Abdulla berkata hakim memberikan keputusan melalui e-mel hari ini selepas mendengar hujahan pada 21 Feb tahun ini.

Haniff, yang dibantu Nurul Huda Razali berkata Mahkamah Tinggi juga mengekalkan perintah bahawa Tunku Nashrul mesti memohon maaf atas syarat yang boleh diterima oleh Yusoff.

Tunku Nashrul, yang diwakili oleh Azwar Manab, juga dikehendaki menarik balik kenyataan media yang memfitnah Yusoff pada 10 Jun 2019.

Yusoff mengemukakan tuntutan pada 12 Sept 2019, mengatakan kenyataan Tunku Nashrul merosakkan reputasinya di mata awam.

Tunku Nashrul mengeluarkan kenyataan itu untuk menafikan tuduhan berlakunya serangan yang didakwa Yusoff berlaku di pejabat Anwar.

Kenyataan itu dibuat selepas Yusoff membuat laporan polis yang mendakwa dia diserang secara fizikal oleh setiausaha politik Anwar ketika itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Yusoff juga mengemukakan tuntutan sivil berasingan terhadap Farhash, menuntut pampasan atas kecederaan yang dialaminya semasa serangan tersebut. Namun, kedua-dua pihak menyelesaikan tuntutan di luar mahkamah tahun lalu.

Yusoff, yang bekerja di pejabat bungalow Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya, juga mengemukakan tuntutan terhadap presiden PKR dengan mendakwa pemimpin itu melakukan serangan seksual ke atasnya 10 hari sebelum Anwar menang dalam pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Okt 2018.

Yusoff mendakwa dia mengalami trauma fizikal, psikologi, dan sosial yang serius akibat kejadian tersebut. Anwar menafikan tuduhan itu.


Perkara itu masih belum selesai di mahkamah.

Tiada ulasan: