"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M himpun kumpulan anti-Anwar melalui ‘Proklamasi Melayu’?

Lynelle Tham
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu menandatangani ‘Proklamasi Melayu’ selepas pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Penandatanganan “Proklamasi Melayu” Dr Mahathir Mohamad oleh beberapa pemimpin pembangkang adalah usaha untuk mengumpulkan mereka yang menentang Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelang PRN, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, menghimpunkan kumpulan “anti-Anwar” akan mengukuhkan pengaruh pembangkang dalam kalangan pengundi Melayu.

“Dengan Proklamasi Melayu ini, pembangkang dapat memupuk sentimen Melayu terutama dalam kalangan penyokong tegar mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya kepada FMT.

James Chin dari Universiti Tasmania turut bersependapat dan berkata Mahathir hanya mengumpulkan kumpulan “anti-Anwar” bagi menunjukkan betapa kuatnya mereka apabila bersatu.

“Mereka semua berkongsi matlamat yang sama iaitu menjatuhkan Anwar. Mereka boleh menguji kekuatan ini semasa berlangsungnya PRN di enam negeri akan datang,” katanya.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu dilaporkan menandatangani proklamasi berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan Mahathir.

Tiga pemimpin Bersatu – Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ahli Majlis Tertinggi Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid – juga telah menandatangani dokumen itu atas kapasiti peribadi mereka.

Minggu lalu, Mahathir, yang sebelum ini pernah mengkritik PAS, berkata rakyat tidak perlu takut dengan pengaruh “gelombang hijau” Perikatan Nasional, sambil menunjukkan bahawa Malaysia menyaksikan pembangunan pesat apabila ia ditadbir oleh kerajaan majoriti Melayu selama 60 tahun.

Sementara itu, Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata seseorang perlu berhati-hati apabila menandatangani proklamasi kerana ia boleh membawa kepada percubaan untuk menggulingkan kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan perpaduan tidak sepatutnya menjadikan perkara itu satu kebimbangan kerana bukan mudah untuk mengulangi Langkah Sheraton.

“Situasi hari ini berbeza kerana kini terdapat undang-undang anti-lompat parti dan memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh parti komponen dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Tiada ulasan: