"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjelasan SKMM kenapa TV Pertiwi disekat

Malaysiakini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata mereka menjalankan kewajipan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menghalang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan, terutama yang berkaitan dengan maklumat salah atau tidak tepat.

Penjelasan itu diberikan susulan sekatan terhadap laman web TV Pertiwi, beberapa jam selepas media itu membuat laporan polis hari ini.

SKMM bagaimanapun tidak memberikan penjelasan khusus berkaitan kesalahan atau percubaan melakukan kesalahan yang dimaksudkannya.

“Dalam proses penilaian SKMM terhadap TV Pertiwi, SKMM berusaha  untuk menjalankan tugas kawal selia dengan penuh bertanggungjawab,” menurut kenyataan bahagian komunikasi korporatnya petang ini.

Sementara itu, SKMM juga berkata tindakannya tertakluk kepada siasatan bagi memastikan integriti dan keselamatan maklumat yang disebarkan melalui kandungan atau platform media berkenaan.

“SKMM akan sentiasa memelihara kedaulatan undang-undang dan menjaga kepentingan awam,” katanya.

TV Pertiwi hari ini membuat laporan polis dan menuntut penjelasan kerajaan susulan sekatan itu.

Selain laman web, akaun TikTok mereka juga disekat semalam. 

Tanpa memberikan kes khusus, seorang jurucakap TikTok memberitahu Malaysiakini bahawa sekatan dibuat kerana TV Pertiwi berulang kali melanggar garis panduan komuniti platform itu.

TV Pertiwi juga menyifatkan sekatan itu sebagai sangat tidak wajar dan bercanggah dengan seruan kebebasan media dan kebebasan bersuara yang dilaungkan oleh kerajaan, terutamanya daripada pihak Pakatan Harapan (PH).

TV Pertiwi dimiliki oleh Kerengga Merah Sdn Bhd.

Ia beroperasi daripada tempat yang sama dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma). Pengerusinya Norzila Baharin juga pernah berkhidmat sebagai naib ketua Wanita NGO itu.

Berpangkalan di Bangi, media yang dilancarkan pada 2021 itu menyiarkan laporan dalam bentuk teks dan video dalam bahasa Malaysia.

Sebelum ini, ketika mengulas kes UtusanTV, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa tiada laman web berita akan disekat oleh SKMM.

Tiada ulasan: