"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Raja Bahrin: Sikap ‘abang besar’ punca PH-BN kalah di T’ganu

Malaysiakini

Sikap ‘abang besar’ dikatakan menjadi antara punca gabungan PH-BN kalah teruk pada pilihan raya negeri Terengganu.

Pengerusi PH negeri Raja Bahrin Shah berkata walaupun Terengganu menjadi kubu kuat PAS namun PH-BN boleh menang beberapa kerusi dari 32 kerusi DUN sekiranya ada strategi dan perancangan yang betul.

"Untuk mencapai strategi yang baik perlu diketepikan sikap dominasi ‘abang besar’ (big brother) dan bersikap terbuka menerima kelebihan tertentu rakan yang dianggap agak baru atau tidak begitu besar,” katanya pada satu kenyataan hari ini

Raja Bahrin memberikan perumpamaan keadaan itu ibarat sebuah hospital besar yang ramai doktornya tetapi tidak semestinya pakar terbaik untuk merawat penyakit tertentu, yang memerlukan kepakaran khusus yang dimiliki oleh sebuah pusat perubatan kecil yang kebetulan mempunyai pakar penyakit berkenaan.

"Di sinilah perlunya mengakui kelebihan tertentu rakan gabungan dalam menghadapi pengundi di kawasan bandar serta pengundi campuran dan jangan mengamal sikap 'abang besar'.

"Kelebihan PH adalah di kawasan pengundi urban bandar yang juga memiliki pengundi campuran.

"Prinsip konsep ini telah dipersetujui pada umumnya di peringkat awal tetapi malangnya tidak dilaksanakan dan kerusi campuran seperti DUN Bandar (Kuala Terengganu) dan Chukai (Kemaman) yang mempunyai urban voters dan campuran tidak diberi kepada parti komponen PH daripada Amanah atau PKR.

"Ini adalah kesilapan yang besar dan kita telah hilang peluang memenangi kerusi seperti ini di mana PH mempunyai kelebihan,” kata Raja Bahrin.

Dia juga memberi contoh kerusi DUN Kota Lama di Kelantan, dengan calon PH daripada Amanah telah berjaya menang di negeri yang dikuasai PAS sejaklebih 30 tahun.

Ini walaupun calon Amanah, Dr Hafidzah Mustakim  bukan orang Kelantan.

"Dengan strategi yang baik, Pakatan Harapan boleh menang kerusi di Kota Bharu dan kalau yang sama dilakukan di Kuala Terengganu, tidak mustahil kejayaan yang sama boleh dicapai.

"Zaman sikap abang besar - big brother, telah lama berlalu dan mentaliti ini perlu dikikis jika kita mahu maju.

"Saya tidak begitu terkejut keputusan PRN di Terengganu tetapi saya amat kecewa .

"Sikap lebih inklusif menghormati sesama kita dan bukan sikap 'abang besar' perlu diwujudkan dalam gabungan BN- PH di Negeri Terengganu,” kata Raja Bahrin.

Pada pilihan raya negeri yang berakhir semalam, PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN Terengganu.

Tiada ulasan: