"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh biras, lelaki dihukum penjara 30 tahun

Bernama

SEREMBAN: Seorang bekas pekerja kilang dijatuhkan hukuman penjara 38 tahun dan 17 sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh birasnya dan mencederakan seorang lelaki, tujuh tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Taufik Hidayah Abdullah, 34, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah atas kedua-dua pertuduhan dihadapinya di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Azman berkata keterangan saksi jelas menunjukkan tertuduh merupakan orang yang bertemu si mati, bertujuan untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya manakala keterangan mangsa yang juga saksi dalam kes itu, menjelaskan dia ditetak oleh tertuduh.

“Mahkamah mempertimbangkan hujahan pendakwaan dan pembelaan sebelum menjatuhkan hukuman, selain mengambil kira fakta kes di mana seseorang telah meninggal dunia atas kekejaman dilakukan, serta seorang lagi mengalami kecederaan hingga menyebabkan tangannya hampir tidak berfungsi,” kata Azman.

Bagi pertuduhan membunuh, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan, manakala bagi kesalahan mencederakan, lelaki itu dipenjara lapan tahun dan lima sebatan. Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap 18 Sept 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama dua lagi individu yang sudah meninggal dunia, didakwa membunuh Salman Raja Abdullah yang berusia 37 tahun ketika kejadian, di Jalan Besar Papan Taman Angsamas, Mambau di sini pada 8.30 malam, 7 Ogos 2016, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Tertuduh bersama dua lagi individu yang telah meninggal dunia didakwa menetak G Suaras, 46, dengan parang sehingga mendatangkan kecederaan parah, berhampiran pintu masuk Jalan Indah Water, Mambau pada tarikh sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan berkenaan didakwa berpunca daripada perselisihan faham, selepas perbincangan mengenai isu penjagaan anak hasil perkahwinan antara tertuduh dengan adik ipar kepada si mati dan selepas kejadian, tertuduh melarikan diri ke Kedah sebelum ditangkap pada 18 Sept 2017.

Terdahulu, peguam V Gobi, yang mewakili Taufik Hidayah memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara yang rendah dan sebatan minimum atas alasan anak guamnya sudah insaf dan ingin menjaga anak yang kini berusia tujuh tahun dalam jagaan bekas isteri.

Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly berkata mahkamah perlu mengambil kira mangsa mengalami patah pergelangan tangan dan kecederaan muka sehingga menjadikan mangsa sebagai orang kurang upaya, selain tindakan tertuduh yang melarikan diri.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahkamah perlu ambil kira mangsa yang meninggal dunia merupakan biras kepada tertuduh dan punca kematian ialah kelar di leher. Perbuatan tersebut dibuat tanpa belas kasihan terhadap orang yang dikenalinya,” kata Husni Fairos.

Tiada ulasan: