"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Takfiri tak pernah ‘surut’ dari Pas, Hasbie cabar Fadhli Shaari berdebat

HarapanDaily.com
Takfiri tak pernah ‘surut’ dari Pas, Hasbie cabar Fadhli Shaari berdebat
SITI NUR ZAWANI

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda mencabar Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fahdli Shaari untuk berdebat dengannya mengenai budaya takfiri dalam Pas.

Ia susulan kenyataan Ahmad Fadhli pada 6 Ogos lalu yang menafikan dakwaan bahawa partinya menerapkan budaya ekstrem seperti mengkafirkan penyokong dan parti lain.

Namun penafiannya itu mula dipertikai apabila tular ceramah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud yang menggelar dua wakil rakyat pembangkang di negeri itu sebagai melawan perjuangan Islam.

Hasbie berkata, kenyataan melampau dikeluarkan oleh menteri besar dari Pas itu membuktikan bahawa gejala takfiri tidak pernah berkurang sedikit pun dari parti jenama Islam itu.

“MB Kelantan yang baru memulakan hari-hari awal sebagai MB, melabelkan dua ADUN pembangkang di Kelantan sebagai dua ADUN yang melawan perjuangan Islam.

“Kenyataan melampau ini bukti gejala takfiri tak pernah surut dari Pas.

“Itupun Ketua Pemuda Pas @FadhliShaari masih nafikan. Saya sedia debat!,” ciapnya di Twitter malam tadi.

Ahmad Fadhli ketika menafikan dakwaan partinya menerapkan budaya ekstrem, berkata, pimpinan parti tidak pernah sewenang-wenangnya melabelkan orang sebagai kafir.

Beliau juga mengatakan sepanjang menganggotai sayap Pemuda Pas, beliau membesar dalam situasi yang tidak pernah melabelkan seseorang itu ke neraka atau ke syurga.

Bagaimanapun apa yang berlaku adalah sebaliknya selepas tular video ceramah Nassuruddin sejak semalam.

Kenyataan Nassuruddin yang melabel dua ADUN pembangkang itu dipercayai merujuk kepada Dr Hafidzah Mustakim yang menang di DUN Kota Lama dan Shahbudin Hashim dari BN di DUN Galas.

“Terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Kelate ni. Mu beri sokongan kepada perjuangan Islam. Alhamdulillah.

“Orang muda bersemangat…orang tua tu hok sokmo doh sokong perjuangan Islam. Orang muda pun sokong.

“Alhamdulillah sehingga tinggal dua kerusi. Takpolah kena ada jugok, takut orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam ni. Jadi rakyat boleh tunjuk hok dua tu…,” katanya.

Tiada ulasan: