"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar dan PAS – siapa pula yang melatah?

Mohsin Abdullah

Tidak pernah saya mengulas atau membuat follow up akan apa yang dikatakan oleh Ti Lian Ker. Ti? Siapa itu? Mungkin itu yang anda tanya. Saya yakin ramai tidak kenal siapa orang yang saya cakap ini. Paling tidak pun tidak familiar.

Ti pernah menjadi timbalan menteri ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin and juga Ismail Sabri Yaakob. Pernah juga memegang jawatan naib presiden MCA tetapi pada pemilihan parti Sept lalu gagal mempertahankan jawatan.

Saya tidak berminat mengulas kenyataannya, sama ada dalam kapasitinya sebagai timbalan menteri, naib presiden, mahu pun ahli biasa parti kerana mendapati apa yang beliau kata sering boleh saya kategorikan sebagai usaha mencari perhatian.

Contoh: Li pernah bangkitkan mana hilangnya budaya maaf-maafan orang Melayu-Islam apabila mendakwa ada orang politik yang tidak jemu-jemu mahu melihat Najib Razak terseksa dan sengsara di penjara. Kata-kata itu beliau luahkan hanya kerana pelbagai pihak mendesak kerajaan waktu itu menjelaskan apa yang disifatkan ‘layanan istimewa’ kepada Najib.

Apabila kerajaan perpaduan ditubuhkan, Li kerap mengkritik keras walaupun partinya masih berada dalam BN dan sebahagian daripada pemerintah. Kritikan dibuat atas alasan membuat teguran membina. Saya melihatnya sebagai serangan ke atas DAP musuh lama MCA. Mungkin itu cara beliau menarik perhatian terutama masyarakat Cina. Adakah taktik itu berjaya? Terpulang kepada interpretasi masing-masing tapi realitinya Li ditolak MCA pada pemilihan parti bulan lalu.

Apa pun beliau bebas melakukan apa yang dia fikir bagus untuknya. Begitu juga saya bebas untuk tidak mengulas kenyataannya. Namun penulisan kali ini saya melanggar ‘pantang’. Buat julung kalinya saya mengulas kenyataan Li yang terbaharu sebab pada hemat saya ia agak pelik.

Semalam Li mengutus surat kepada pengarang untuk disiar (malah sudah disiar) FMT. Surat berbahasa Inggeris diberi tajuk “It’s time to help PAS empower its moderates” atau “Masa untuk bantu PAS memperkasa golongan sederhananya”.

Ringkasnya menerusi surat itu Li berkata PAS tidak harus digambarkan sebagai raksasa atau dihimpit ke sudut yang akan menyaksikan parti itu menjadi lebih radikal dan ekstrem. Seperti biasa Li menyinggung dan menyakat DAP dan juga MCA. Tidak perlu saya bercakap mengenai the politics of it dan mengapa beliau kata apa yang beliau kata. Cuma perlu dinyatakan surat itu berkisar tentang apa yang Anwar Ibrahim beritahu Time Magazine pada satu wawancara tempoh hari khususnya mengenai PAS dan kerajaan perpaduan.

Bagi Li, perdana menteri pelawa PAS menyertai kerajaan perpaduan. Lalu beliau pun bercakap mengenai “time to empower PAS moderates”. Bagi saya sebelum bercakap mengenai memperkasa golongan moderat PAS dan sebagainya, persoalan utama ialah adakah Anwar pelawa PAS ke dalam kerajaannya? Pada pemahaman saya, Anwar ada pelawa PAS tetapi ini pada tahun lalu ketika usaha dijalankan untuk membentuk kerajaan berikutan tergantungnya Parlimen apabila PRU15 tidak memberi majoriti mutlak kepada mana-mana parti. Pelawaan itu bagaimanapun ditolak PAS.

Seterusnya apabila Time Magazine bertanya lagi apa jawapan Anwar? Kolumnis FMT Hishamuddin Aun menerusi artikel yang disiarkan 17 Okt lalu menyimpul begini: “Anwar dalam temubual Time Magazine yang disiarkan secara dalam talian Rabu lalu memberi jaminan tidak akan menghalang kerjasama dengan PAS jika ia wujud pada masa akan datang. Ini susulan jemputannya kepada parti itu tahun lalu ditolak ketika itu.”

Berita Harian juga melaporkan Anwar beri jaminan tidak akan halang kerjasama dengan PAS jika ia wujud pada masa akan datang. Utusan Malaysia menyebut “Pintu untuk PAS sertai kerajaan perpaduan masih terbuka”.

Pada pandangan saya jawaban sedemikian bijak dan wajar kerana politik serba kemungkinan dan tiada siapa yang boleh meramal apa akan berlaku pada masa mendatang. Seriously adakah kita menjangka jawaban Anwar kepada Time Magazine lain daripada apa yang beliau utarakan? Perpaduan sememangnya dialu-alukan orang Melayu-Islam. Takkan kita jangka Anwar akan terus menolak dan enggan berbaik-baik dengan parti yang dianggotai saudara sesama Melayu sesama Islam, kerana beliau akan kelihatan angkuh.

Bagaimanapun bak kata Hishamuddin, sebarang bentuk kerjasama tidak berkemungkinan dalam waktu terdekat ini, berdasarkan betapa ‘mesra’ hubungan PAS dan kerajaan perpaduan apa tah lagi modal kempen PAS pada PRK Pelangai 7 Okt lalu yang menghentam Pakatan Harapan–Barisan Nasional.

Perhatikan juga tajuk berita Malaysiakini: “PM tak tolak PAS sertai kerajaan jika syarat dasar diterima”. Syarat dasar utama ialah PAS menerima bahawa walaupun Islam agama Persekutuan, Malaysia negara berbilang agama dan setiap rakyat mempunyai tempat.

Adakah PAS akan setuju? Jika ya adakah bermakna parti itu akan dilihat mengakui ia selama ini memang tidak berpegang kepada hakikat bahawa Malaysia negara berbilang kaum yang masing-masing punya tempat?

Perlu diingat PAS sejak kebelakangan ini rapat dengan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad yang dewasa ini melihat Malaysia bukan negara multiracial. Apa pula maksudnya apabila Naib Presiden PAS Amar Abdullah diberitakan berkata partinya lebih selesa memainkan peranan sebagai “pembangkang yang konstruktif”?

Semua itu bolehkah ibarat Li si bekas naib presiden MCA melompat dan melatah apabila berbicara mengenai apa yang beliau sifatkan pelawaan perdana menteri kepada PAS? Sesungguhnya, saya percaya bukan beliau seorang yang berbuat demikian.

Tiada ulasan: