"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tampar dua pemuda sebab salah faham

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular menunjukkan lelaki menampar dua pemuda di Taman Danau Kota, Setapak.
TANGKAP layar video tular menunjukkan lelaki menampar dua pemuda di Taman Danau Kota, Setapak.
Kuala Lumpur: Perselisihan faham dikatakan punca seorang lelaki menampar dua pemuda dalam pergaduhan di Taman Danau Kota, Setapak di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis menerima laporan kejadian pada 6.42 petang daripada mangsa berusia 21 tahun.

"Mangsa mendakwa ketika dia bersama rakannya berusia 19 tahun ditampar seorang lelaki. Suspek turut merampas dan membaling telefon bimbit rakannya sehingga mengalami kerosakan.

"Mangsa luka di bahagian mulut dan leher manakala rakan mengalami luka di mulut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Ashari berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju berjaya menahan suspek berusia 55 tahun di Setapak, kira-kira 11.30 pagi Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, polis sudah merujuk kertas siasatan lengkap kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan tuduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada pagi esok.

Terdahulu, beberapa rakaman video yang menunjukkan suspek menampar dan merampas telefon bimbit tular di laman sosial Facebook sehingga mendapat pelbagai respon orang ramai yang turut mengharapkan suspek dikenakan tindakan atas perbuatannya itu.

Tiada ulasan: