"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-kanak tercampak keluar kereta, dilanggar 2 kenderaan lain

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
Seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh daripada sebuah kereta yang bergerak kejadian di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini. FOTO Ihsan pembaca.
Kota Bharu: Kanak-kanak lelaki bernasib baik apabila terselamat selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dipercayai dipandu ahli keluarganya sebelum dilanggar dua kenderaan lain di Jalan Sultan Yahya Petra di sini.

Kejadian itu tular menerusi satu rakaman video berdurasi satu minit satu saat di media sosial sejak semalam

Rakaman berkenaan menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki yang tercampak dari sebuah kereta sebelum dilanggar dua kereta.

Kanak-kanak itu cuba bangun untuk berlari sebelum diselamatkan oleh penunggang motosikal yang membawanya ke tepi jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pihak polis menyedari kejadian itu selepas mengesan rakaman video terbabit tular di Facebook pada 11 malam tadi.

Menurutnya, video itu memaparkan kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan tiga tahun tercampak keluar dari kereta dinaikinya ketika membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat berdekatan sebuah pasar raya.

"Kemalangan berlaku dipercayai akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki oleh kanak-kanak itu untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup dengan kemas serta tidak memastikan kanak-kanak itu memakai tali pinggang keledar.

"Usaha mengesan kenderaan terbabit serta kanak-kanak itu masih dijalankan. Setakat ini tiada laporan yang dibuat mengenainya," katanya.

Mohd Suhaimi berkata, siasatan mengenai kejadian berkenaan sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menyeru orang ramai yang melihat kejadian itu, pemandu yang terbabit dan perakam video berkaitan diminta tampil untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairul Anuar Abdul Aziz di talian 09-7752355.

"Pihak polis juga menggesa orang ramai supaya berhati-hati dalam pemanduan semasa menggunakan jalan raya dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas yang berkuatkuasa di negara ini," katanya.

Tiada ulasan: