"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai kanan kastam disiasat, kes pemerdagangan manusia

Mohamed Basyir
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disiasat atas dakwaan terbabit kes pemerdagangan manusia.

Ia susulan laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang mendakwa pembantu rumahnya yang juga warga Indonesia dieksploitasi dan dibawa masuk ke negara ini secara haram.

Anak lelaki kepada wanita berusia 50 tahun itu melaporkannya kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia sebelum kes itu dirujuk kepada polis.

Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang kemudian menahan lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007.

Sumber memberitahu New Straits Times (NST) yang pegawai berusia 46 tahun dan berkhidmat di Putrajaya itu ditahan di rumahnya di Kajang, Selangor pada 1 tengah hari, 6 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa berjaya diselamatkan dan kini ditempatkan di premis perlindungan.

"Anak mangsa yang berada di Jawa Timur membuat laporan mendakwa ibunya tidak dibayar gaji oleh majikan.

"Menurut mangsa, dia bekerja dengan suspek selama tiga tahun dan sepatutnya dibayar RM1,000 sebulan. Bagaimanapun, dia tidak pernah dibayar secara tunai tetapi gajinya didakwa dihantar kepada keluarga di Jawa.

"Mangsa juga memberitahu polis bahawa suspek sering memarahinya tanpa sebab. Mangsa berkata dia bekerja dengan majikan lain ketika memasuki Malaysia pada 2018 sebelum dibawa bekerja di rumah suspek," katanya.

Sumber berkata, dalam soal siasat, suspek mendakwa mengambil mangsa yang tidak mempunyai permit sah daripada seorang ejen warga Malaysia dikenali 'Datin Liza'.

"Mangsa mempunyai telefon bimbit sendiri tetapi disimpan oleh isteri suspek yang tidak membenarkan dia menggunakannya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi NST mengesahkan kes itu.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono yang dihubungi NST juga mengesahkan menerima aduan itu dan merujuknya kepada polis IPD Kajang.

Beliau turut mengesahkan mangsa diselamatkan dan majikannya sedang dalam siasatan polis.

Bagaimanapun, beliau memberitahu belum menerima maklumat terkini berhubung siasatan kes berkenaan daripada polis.

Tiada ulasan: