"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dulu dakwa bukan Islam perosak negara, sekarang sibuk tagih undi

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI

Selepas pernah melabel golongan bukan Islam sebagai perosak politik dan ekonomi negara, Tan Sri Abdul Hadi Awang disindir apabila menggesa anggotanya untuk menarik undi dari kumpulan itu.

Dalam muktamar tahunan Pas semalam, Hadi mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Presiden Pas itu tidak pernah konsisten dalam ucapannya kerana “hari ini cakap lain, esok cakap lain”.

“Membaca ‘amanat’ terbaru Hadi mengingatkan saya tentang tohmahan beliau terhadap pengundi bukan Melayu.

“Nampaknya Hadi sedang menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah beliau label sebagai perosak negara.

“Sejak dari dulu Hadi terkenal dengan sikap yang tidak konsisten dalam berkempen. Hari ini cakap lain, esok cakap lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada Ogos tahun lalu, Abdul Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia, selain menuduh golongan itu menjadi kumpulan majoriti yang merosak politik dan ekonomi negara.

Susulan tuduhannya itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan iaitu berkaitan niat mengapi-apikan atau mungkin mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap golongan atau kaum lain.

Sementara itu Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, untuk Malaysia bergerak ke hadapan, semua kaum dan agama perlu dilibatkan dalam proses pembinaan negara.

PKR katanya, sebagai parti berbilang kaum tidak pernah melabel mana-mana kaum sebagai perosak negara.

“Saya percaya dengan pelbagai inisiatif yang telah dilakukan Kerajaan Perpaduan, ia akan memberikan keyakinan kepada semua pengundi tanpa mengira kaum dan agama untuk terus menyokong kerajaan ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: