"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

NGO Palestin: Tindakan undang-undang jika UK gagal henti jual senjata kepada Israel

Bharianonline

LONDON: Sebuah kumpulan hak asasi rakyat Palestin mengancam tindakan undang-undang terhadap Britain melainkan negara itu membatalkan semua lesen eksport senjata ke Israel, yang dikatakan telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan pengebomannya ke atas Semenanjung Gaza.

Al-Haq yang berpangkalan di Tebing Barat, yang mendokumentasikan dakwaan pencabulan hak oleh Israel dan Pihak Berkuasa Palestin yang disokong Barat, meminta dalam surat yang dihantar pada Isnin kepada Menteri Perdagangan, Kemi Badenoch untuk Britain mengesahkan bahawa tiada "senjata British digunakan di Israel/ Palestin atau menentang Palestin."

Atau, Britain harus "segera menggantung dan/atau membatalkan semua lesen yang masih ada kepada Israel dan berjanji untuk tidak memberikan sebarang lesen lagi sehingga Israel berhenti melanggar undang-undang antarabangsa."

Israel telah mengebom Semenanjung Gaza dengan serangan udara yang membunuh kira-kira 3,000 rakyat Palestin, dan menghalau kira-kira separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza dari rumah mereka.

Jika ia tidak menerima maklum balas penuh pada 30 Oktober, peguam Al-Haq berkata kumpulan itu akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Britain kerana melesenkan eksport senjata secara menyalahi undang-undang yang boleh digunakan untuk melanggar undang-undang antarabangsa.

Kumpulan itu berkata terdapat "bukti jelas bahawa Israel telah berulang kali dan serius melanggar undang-undang antarabangsa dalam 10 hari terakhir ini sahaja" sejak serangan Hamas ke atas Israel.

Jurucakap Jabatan Perniagaan dan Perdagangan berkata: "Pada masa ini tidak ada rancangan segera untuk menghentikan lesen eksport senjata ke Israel.

"Semua lesen eksport disimpan di bawah semakan berterusan, dengan permohonan dinilai kes demi kes berdasarkan kriteria yang ketat."

Kedutaan Israel di London tidak segera membalas permintaan untuk mengulas.

Kempen Menentang Perdagangan Senjata (CAAT) – yang membawa kes tidak berjaya terhadap Britain kerana membenarkan eksport senjata ke Arab Saudi – semalam turut menggesa penggantungan segera semua lesen untuk eksport senjata ke Israel. - REUTERS

Tiada ulasan: