"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Calon PAS di Kemaman: ‘Boleh jadi Mahathir, boleh jadi tidak’

Shakira Buang & Shamz Johan

PAS masih berteka-teki berhubung spekulasi Dr Mahathir Mohamad akan menjadi calonnya dalam pilihan raya kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata semua rakyat Malaysia berhak menjadi calon tidak kira dari negeri mana memandangkan Kemaman ialah kerusi parlimen.

“Boleh jadi dia (Mahathir) boleh jadi orang lain. 

“Belum putuskan lagi,” katanya ketika kepada pemberita ketika ditanya berkaitan spekulasi itu.

Dia juga  diminta mengulas sama ada calon yang akan dipilih daripada Kemamaman atau calon luar.

Sebelum ini sebuah portal media mendakwa PAS kemungkinan meletakkan Mahathir sebagai calon dalam PRK Kemaman.

Memetik sumber yang dikatakan rapat Mahathir, laporan itu mendakwa rundingan berhubung perkara itu telah dibuat supaya peranan semak dan imbang terhadap kerajaan lebih berkesan.

Sementara itu, Takiyuddin berkata PAS akan mengumumkan calon mereka sebelum hari penamaan calon 18 November.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada pilihan raya umum ke-15 .

Pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

PAS tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan itu sebaliknya memilih untuk berdepan sekali lagi di peti undi.

Kemaman ialah kubu kuat PAS dalam negeri yang menyaksikan penguasaan penuh parti itu.

Dalam PRU15, Che Alias menang besar dengan majoriti 27,179 undi mengalahkan tokoh BN Terengganu Ahmad Said Hasuni Sudin (PH) dan calon Parti Pejuang Tanah Air Rosli Ab Ghani.

Tiada ulasan: