"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Bangladesh semakin bermaharajalela

Daripada pengurus, GRO hingga pelanggan, semuanya warga Bangladesh

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu operasi pusat hiburan dikuasai warga asing seperti dikesan dalam serbuan di empat premis hiburan di Kompleks Wilayah, Jalan Dang Wangi, di sini, semalam, perlu dipantau semua pihak bagi mengatasi permasalahan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, isu berkenaan ada kaitan dengan kemasukan warga asing di negara ini.

"Kita dapati pengurus dan penolong pengurus serta pekerja pusat-pusat hiburan ini adalah warga Bangladesh dan pelanggan juga majoritinya dari Bangladesh.

"Mereka ini sudah menjadi pengurus, jadi penolong pengurus, jadi GRO (pelayan pelanggan) dan jadi pelanggan kepada tempat mereka sendiri (pusat hiburan diuruskan warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah D7 (Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dan Ketua Penolong Pengarah D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus.

Rusdi berkata, semakan dilakukan mendapati, semua premis hiburan itu mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kita percaya semua pihak berkuasa berkaitan ada membuat pemeriksaan daripada semasa ke semasa.

"Ini termasuk pemeriksaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang terletak berhampiran dengan Kompleks Wilayah.

"Justeru, kita mahu semua pihak berkuasa, termasuk polis, terus membuat pemantauan atas sebarang salah laku dan pelanggaran syarat lesen perniagaan," katanya.

Beliau berkata, operasi itu dilakukan untuk membendung pembabitan warga asing dalam kegiatan pusat hiburan.

"Ia kerana, pada masa ini, kita dapati ramai daripada mereka menjadi pengurus, pekerja dan pelanggan terutamanya dalam serbuan ini.

"Operasi ini juga memberi fokus untuk melaksanakan 'National Guideline Of Human Trafficking Indicators' (NGHTI) 2.0 bagi mengesan jika ada warga asing menjadi mangsa pemerdagangan orang iaitu ekploitasi buruh paksa," katanya.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kewujudan sebarang unsur pemerdagangan orang terutama membabitkan GRO yang diperiksa dalam operasi itu.

"Setakat ini, kita mendapati mereka semua mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Namun pada masa sama, kita juga membuat semakan lanjut dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Perkara ini (semakan) ini akan mengambil sedikit masa," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, polis menggempur empat premis hiburan milik warga asing di Kompleks Wilayah dengan 38 individu ditahan selepas didapati melanggar pelbagai kesalahan Imigresen.

Pada serbuan awal pagi itu, polis turut memeriksa 34 wanita disyaki penari yang juga pelayan pelanggan (GRO) di empat pusat hiburan terbabit.

Tiada ulasan: