"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terkini Di Gaza: Pintu sempadan Rafah masih tidak dibuka, Israel dah mula serang kawasan sempadan

HarapanDaily.com
Pintu sempadan Rafah masih tidak dibuka, Israel dah mula serang kawasan sempadan
Pintu sempadan Gaza yang dikawal Mesir masih tidak dibuka sekali gus menghalang penyaluran bantuan kemanusiaan buat penduduk Palestin.

Perkembangan membimbangkan itu dimaklumkan warga Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang berada di Gaza, Palestin bersama suaminya, Mohamed Adnan Shaat, 33, lapor Harian Metro.

Beliau yang kali pertama pulang ke kampung halaman suaminya di Gaza selepas enam tahun berkahwin berkata, berita pembukaan pintu sempadan Rafah adalah harapan palsu.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan pintu sempadan Rafah di selatan Gaza-Mesir mula dibuka bagi membenarkan konvoi kemanusiaan memasuki Gaza jam 9 pagi waktu tempatan semalam.

Malah, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken mengesahkan pembukaan sempadan itu dan berkata pihaknya sedang mengaturkan mekanisme untuk bantuan masuk ke Gaza.
Penduduk Gaza menanti pintu sempadan Rafah dibuka ketika Israel mula menyerang kawasan berdekatan sempadan itu.
Mengulas situasi terkini keadaan di pintu sempadan Rafah, Nurul Ain memberitahu, berita mengenai pembukaan itu membuatkan ramai penduduk mula berkumpul di depan pintu sempadan.

Beliau berkata, keadaan mereka di sana sekarang ibarat berada dalam penjara selepas semua kemudahan awam seperti bekalan elektrik, air dan talian Internet disekat oleh Israel.

“Serangan masih tidak berhenti. Malah, mereka dah mula serang dekat kawasan sempadan Rafah.

“Hari ini dah masuk hari kesembilan bekalan air dan elektrik tidak ada. Kami ibarat dipenjara terbesar di dunia. Itu yang saya dapat terangkan dan gambarkan keadaan kami di sini buat masa ini,” katanya.

Pada masa ini, bantuan kemanusiaan termasuk dari Mesir, Jordan dan Turki selain bekalan perubatan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah tiba lapangan terbang Al Ariel yang jaraknya 50 kilometer (km) di barat Rafah.
Rafah di sempadan Mesir kini merupakan satu-satunya laluan keluar dari Gaza tetapi malangnya masih tidak dibuka. Foto Said Khatib / AFP
Semua bantuan itu sedang menunggu untuk dibawa masuk ke Gaza yang dibedil bertalu-talu tentera Israel sejak 7 Oktober lalu.

Tambah Nurul Ain lagi, lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan kedai menjual barangan makanan mula kehabisan stok sekaligus menyebabkan bantuan yang diberinya bergantung apa yang ada saja.

“Sekarang ini, bantuan yang nak dibawa masuk memang tak boleh. Tidak tahu bila akan masuk. Dari segi makanan, kami hanya bergantung pada bekalan sedia ada.

“Saya dah mula hilang kata-kata. Saya dah ‘mentally broke’. Semoga Allah terus memberi kekuatan dan melindungi kami di sini,” doanya.

Nurul Ainang yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu berkata, tidak ada satu tempat pun di wilayah itu yang betul-betul dalam keadaan selamat.

“Tiada jaminan mana-mana kawasan di sini selamat buat masa sekarang. Setiap masa dalam keadaan risau dan takut, tapi perlu berjaga-jaga.

“Tidur pun tak boleh lena. Dron di udara boleh dengar dengan kuat setiap masa terutama pada waktu malam perasaan itu Allah saja yang tahu.

“Syukur, Alhamdulillah untuk semuanya,” katanya yang pada masa ini berlindung di rumah mentua, Khan Younis selepas tiba di negara itu pada 1 Oktober lalu.

Walaupun menyedari keselamatan yang serba tidak menentu, beliau dan suami yang juga warga Palestin tetap memberanikan diri keluar rumah bagi menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa dan penduduk yang terjejas.

“Ini adalah amanah, tapi kami tunggu jika tidak ada serangan baru keluar. Bantuan yang diedarkan ini diambil dari kedai pemborong makanan yang buat sumbangan.

“Ini sajalah yang tinggal sebab ada satu lagi kedai sudah musnah dibom,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: